PETALING JAYA: Pameran Barang Kemas Antarabangsa Malaysia (MIJF) 2024 yang dinanti-nantikan akan kembali sebagai pameran barang kemas terbesar dan paling berprestij di Malaysia.
CEO Elite Expo Sdn Bhd, Datuk Johnson Lim berkata, pihaknya sangat teruja untuk mengangkat Pameran Barang Kemas Antarabangsa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi pada tahun ini.
“MIJF 2024 akan menampilkan lebih daripada 250 pempamer dari pasaran utama seperti Hong Kong, India, Thailand, Singapura, dan Malaysia, yang mempamerkan lebih daripada 300,000 barang kemas mewah.
“Acara ini akan menonjolkan pelbagai jenis barang kemas, dari emas, perak, platinum hingga berlian, mutiara, dan batu permata, memenuhi citarasa moden dan tradisional.
“Sebagai hadiah istimewa, 250 pengunjung pertama setiap hari akan menerima loket mutiara percuma,” ujarnya.
Untuk info, acara tersebut bakal berlangsung dari 16 hingga 19 November 2024 di Dewan 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dari 11 pagi hingga 7 malam.
Tambah Johnson, pasaran barang kemas global sedang berkembang dengan pesat, dengan pendapatan dijangka mencecah USD 0.36 trilion pada tahun 2024.
“Sektor ini dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 4.56 peratus antara 2024 hingga 2029.
“Acara tahun ini juga menampilkan pempamer dari seluruh dunia, mempamerkan beberapa koleksi barang kemas terbaik yang pernah dilihat di Malaysia.
“Pengunjung akan berpeluang untuk menerokai trend barang kemas terkini, berhubung dengan pemimpin industri, dan menikmati harga barang kemas yang kompetitif di rantau ini,” katanyaz
Dengan jangkaan kehadiran 5,000 pengunjung, MIJF 2024 akan menarik profesional industri serta orang awam.
Pengunjung juga akan menikmati diskaun eksklusif untuk pembelian barang kemas, dengan hadiah dan cabutan bertuah menarik untuk mereka yang membuat pembelian sepanjang pameran.
Pengunjung digalakkan untuk melakukan pra-daftar awal bagi memastikan tempat mereka di acara hebat ini. Pra-pendaftaran kini dibuka di laman rasmi MIJF: https://mijf.com.my/mijf/pre-register-mobile/.-UTUSAN