IPOH: Dakwaan kejadian air surut di Tasik Raban, Lenggong, dekat sini boleh dikaitkan dengan proses pemendapan yang berlaku akibat pelbagai aktiviti berdekatan tasik tersebut.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Ahmad Shahrir Md. Naziri berkata, secara teknikal tasik berkenaan banyak dipengaruhi oleh isu pemendapan.
Beliau melihat ada kemungkinan disebabkan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di tasik tersebut mempercepat proses pemendapan atau pengecilan kapasiti tasik.
Kata beliau, pihaknya bagaimanapun yakin kejadian itu bukan berpunca akibat pelepasan atau kawalan air di empangan yang berdekatan seperti Temenggor, Bersia, Kenering dan Chenderoh.
“Secara teknikalnya Tasik Raban ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh isu pemendapan, maknanya pengurangan kapasiti kawasan tersebut.
“Saya percaya dan pasti tidak ada kaitan dengan isu pelepasan air dari empangan. Malahan sekiranya pelepasan daripada empangan itu sepatutnya menambah kapasiti di Tasik Raban itu sendiri secara teknikal,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan sekumpulan penternak ikan sangkar dan nelayan di Tasik Raban sejak Jumaat lalu panik dan berdepan kesukaran apabila paras air di kawasan ternakan mereka surut.
Keadaan seumpama itu didakwa tidak pernah berlaku selain menyusahkan mereka untuk pergi menangkap ikan dan menguruskan ternakan masing-masing.
Mereka tertanya-tanya apakah kejadian itu disebabkan faktor kawalan air susulan perkembangan pada minggu lalu berhubung kerja-kerja pelepasan air oleh Tenaga Nasional Berhad di empangan yang dikendalikan oleh syarikat utiliti tersebut sebagai persediaan menghadapi musim hujan lebat.
Tinjauan semalam mendapati paras air di tasik itu semakin naik dan menghampiri paras normal.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengarahkan JPS Daerah Kuala Kangsar dan Hulu Perak memantau keadaan tersebut.
Mengikut laporan, tasik buatan berkeluasan 25 kilometer persegi itu dahulunya dikenali sebagai Tasik Chenderoh dan terhasil daripada aliran Sungai Perak yang disekat oleh projek empangan hidroelektrik Chenderoh dibina pada 1928. – UTUSAN