SHAH ALAM: “Ibu saya orang pertama yang akan naik kereta tersebut bersama saya.”
Demikian kata penyanyi, Aina Abdul, 30, yang memenangi sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) selepas dinobatkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Ke-36 (ABP36), semalam.
Menurut Aina, dia memang merancang untuk membeli sebuah kereta dengan menggunakan duit hasil titik peluhnya sepanjang penglibatan dalam industri muzik tanah air.
Namun, dia tidak menyangka apabila rezeki berpihak kepadanya untuk memenangi kenderaan tersebut yang ditaja syarikat pengeluar produk kecantikan, CONBOO selaku penaja utama acara tersebut.
“Sebenarnya saya merancang untuk membeli kereta baharu tahun ini. Tetapi tak sangka dapat kereta pula malam ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Jangan Mati Rasa Itu mengakui tidak menyangka dia berjaya merangkul gelaran Bintang Paling Popular setelah 10 tahun bertungkus-lumus menghasilkan karya terbaik dalam industri muzik.
“Alhamdulillah, saya tak jangka menang anugerah ini kerana perjalanan dan karier saya tidak mudah.
“Banyak masa dan tenaga yang saya korbankan. Tetapi, pada saya perjuangan sepanjang 10 tahun dalam industri seni tidak sia-sia.
“Kemenangan saya ini adalah 100 peratus disebabkan peminat saya dan saya juga ingin tujukan kemenangan ini buat ibu, abang dan peminat saya yang telah banyak berkorban untuk saya,” kongsinya.
Aina yang juga pemenang Penyanyi Paling Popular itu turut menyifatkan kemenangan tersebut sebagai jentikan untuk tidak berasa terlalu selesa sebaliknya perlu berusaha lebih keras dalam menghasilkan karya yang terbaik dan berkualiti.
“Kemenangan ini satu peringatan untuk saya bekerja keras dan kalau nak kata saya gembira dengan dua anugerah ini, tidak.
“Sebaliknya saya takut, gemuruh dan gementar kerana dengan dua anugerah ini, saya perlu buktikan banyak perkara.
“Tetapi, selagi saya jujur dengan apa yang saya lakukan, insya-Allah setiap lagu yang saya hasilkan akan terus melekat di hati peminat.
“Saya tidak mampu membalas segala jasa mereka dengan wang ringgit, tetapi saya harap karya-karya saya selepas ini akan menggembirakan mereka,” jelasnya. – UTUSAN