Mekanik didenda RM5,000 gagal patuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna - Utusan Malaysia

Mekanik didenda RM5,000 gagal patuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna

MUHAMAD Zamzam Mohd. Razali (tengah) dikenakan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh kerana gagal mematuhi award TTPM berjumlah RM6,750, dua tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang mekanik didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana gagal mematuhi award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar tuntutan berjumlah RM6,750 kepada seorang pensyarah, dua tahun lalu.

Muhamad Zamzam Mohd. Razali, 28, selaku orang kena saman (OKS) juga berdepan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah gagal untuk mematuhi award TTPM (No.TTPM-A- (P)-161-2021) yang dikeluarkan pada 27 September 2022 yang memerintahkan supaya membayar RM6,750 kepada pihak yang menuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diserahkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat TTPM, Lot 23, Bangunan UTC Perak, Jalan Dato’ Onn Jaafar di dalam daerah Kinta, pada 10 Oktober 2022.

Muhamad Zamzam didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Muhammad Ridzuan Abd Rahim manakala OKS tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tuntutan terhadap OKS itu difailkan oleh pengadu berhubung kegagalan lelaki itu yang juga mekanik kereta menyiapkan pembaikan kenderaan pengadu seperti mana yang dijanjikan.

Katanya, satu award telah dikeluarkan oleh TTPM Perak melalui Borang 8 iaitu pihak penentang telah diperintahkan membayar jumlah tuntutan sebanyak RM6,750 kepada pengadu dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diserahkan.

“Penentang telah gagal mematuhi award yang diperintahkan dan pada 1 December 2022, penentang telah dituduh di mahkamah atas tersebut.

“Penentang tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan mohon dibicarakan.

Bagaimanapun, mahkamah pada hari ini telah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan yang munasabah dan penentang dikenakan hukuman denda,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya