Media mainkan peranan penting serlahkan keterlihatan Unimap - Utusan Malaysia

Media mainkan peranan penting serlahkan keterlihatan Unimap

ZALIMAN Sauli bersama para pengamal media negeri ini pada Majlis Gala Gemilang Media 2024 Unimap di salah sebuah hotel di Kangar, Perlis, semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang sudah meniti usia 23 tahun dan bakal meraikan Jubli Perak pada Julai 2026 sentiasa komited dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 sehingga seterusnya.

Malah dalam tempoh tersebut juga, media Perlis khususnya sentiasa memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat dan perkembangan berkaitan universiti berkenaan sekali gus membantu menyerlahkan keterlihatan Unimap.

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, dalam tempoh tersebut dan akan datang, pihak media telah memberi kerjasama yang baik dalam membuat liputan program-program dan kejayaan universiti berkenaan.

Katanya, begitu juga peranan media dalam mengenengahkan hasil-hasil penyelidikan khususnya di dalam media arus perdana.

“Pihak universiti memahami untuk mempromosikan hal ehwal penyelidikan dan akademik universiti ke dalam media bukan sesuatu yang mudah kerana bergantung kepada ‘keistimewaan’ dan persaingan dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain,” katanya pada Majlis Gala Gemilang Media 2024 Unimap di salah sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Unimap, Muhamad Azuan Mohamad Nasir; Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Hafizi Rosli dan Presiden Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Syed Azlan Sayid Hizar.

Majlis tersebut dianjurkan khas sebagai tanda penghargaan kepada media yang telah banyak memberi publisiti selain sebagai medium bertukar-tukar idea dalam menyediakan bahan bertepatan dengan keperluan media.

Seterusnya Zaliman berharap agar ukhuwah antara Unimap dan media negeri ini akan terus utuh dan kukuh untuk bersama-sama membangunkan universiti ini dan Perlis.

“Saya juga mengucapkan tahniah dan memberi penghargaan kepada Pusat Komunikasi Korporat dan jawatankuasa pelaksana atas komitmen yang cukup tinggi dalam menjayakan penganjuran majlis berkenaan. Tidak dilupakan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penaja yang turut menaja hadiah-hadiah cabutan bertuah untuk memeriahkan dan meraikan rakan-rakan media sekalian,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya