SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan pihaknya melepaskan ikan ‘alien’ atau spesis asing ke dalam perairan umum di Tasik Shah Alam.
Sebaliknya, ikan patin Siam yang dilepaskan itu tidak berada dalam senarai yang dilarang dilepaskan di perairan negara ini oleh Jabatan Perikatan Malaysia (DoF).
Pengarah Korporat MBSA, Mohd. Azhar Mohd. Sharif berkata, pelepasan ikan tersebut juga bertujuan mengawal keseimbangan spesies dan populasi ikan di Tasik Shah Alam.
“Ikan yang dilepaskan sebagai simbolik penganjuran Pertandingan Memancing Shah Alam 2024 baru-baru ini, adalah dari spesis pangasianodon hypophthalmus atau patin siam.
“Merujuk kepada poster spesies ikan asing yang dilarang dilepaskan ke perairan umum yang dipaparkan di portal DOF, tidak dinyatakan larangan pada spesies ikan tersebut,” katanya, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, DOF Selangor kesal dengan tindakan pihak tertentu yang melepaskan ikan asing jenis patin Siam di Tasik Shah Alam di sini, baru-baru ini.
Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, tindakan itu bukan saja mengancam ekosistem tasik malah menimbulkan risiko kepada spesies tempatan dan keseimbangan biodiversiti.
Dalam pada itu, Mohd. Azhar menjelaskan, MBSA juga memperolehi bekalan ikan tersebut daripada pembekal yang berdaftar dengan DOF.
“Bagi memastikan kelestarian ekosistem di Tasik Shah Alam, pihak MBSA juga melakukan pelbagai inisiatif antaranya melaksanakan rawatan air di Tasik Shah Alam bagi memastikan kualiti air tasik dalam keadaan baik.
“Sebagai tanda sokongan terhadap usaha bagi mengurangkan spesies ikan asing di Tasik Shah Alam pihak MBSA turut akan memberikan hadiah kepada 100 pemancing terawal menaikkan ikan asing semasa Pertandingan Memancing Shah Alam pada 27 Oktober ini,”jelasnya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, pada masa hadapan MBSA akan membuat rujukan terlebih dahulu dengan DOF bagi memastikan spesies ikan yang dilepaskan adalah jenis dibenarkan. – UTUSAN