SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengenal pasti pihak bertanggungjawab menyelenggara longkang serta parit yang dikatakan tidak ‘bertuan’ di sekitar bandar raya ini.
Hal itu bagi memastikan keseluruhan longkang dan parit di kawasan ini dilaksanakan penyelenggaraanya supaya dapat mengelak masalah banjir kilat akibat saluran air tidak diselenggara.
Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim, bagaimanapun penyelenggaraan longkang dan parit tanah tidak bertuan tersebut memerlukan penyelarasan antara MBSA dengan JPS.
“Isu sedemikian sudah dibangkitkan peringkat negeri dan sedang diatasi oleh JPS, difahamkan sudah ada peruntukan untuk menyelenggara parit tanah tersebut dari kerajaan negeri dan dijalankan secara berfasa.
“Justeru MBSA dan JPS akan segera menyelesaikan isu siapa yang perlu bertanggungjawab menyelenggara parit atau longkang tidak bertuan yang berada di dalam Daerah Petaling (sebelum musim tengkujuh tiba),” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan insentif kepada pemenang pingat Sukan Malaysia 2024, malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kewujudan longkang atau saliran air tidak ‘bertuan’ sepanjang 600 kilometer (km) dikenal pasti antara punca berlakunya banjir di Selangor.
Kesemua longkang itu dibina pihak tertentu sama ada melibatkan kawasan perumahan, tepi jalan, kampung dan kilang.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, pemerhatian pihaknya mendapati lokasi terlibat kebanyakkannya di sekitar daerah Petaling dan Klang.
Dalam pada itu, Mohd. Fauzi memberitahu, isu parit tidak bertuan yang menyebabkan banjir kilat seperti di Kampung Jalan Kebun baru-baru ini memerlukan tindakan penyelarasan bidang kuasa antara kedua pihak.
“MBSA dan JPS akan mengadakan segera mesyuarat penyelarasan kawasan parit tidak bertuan tersebut agar ia tidak menjadi penghalang kepada usaha untuk mengatasi banjir.
“Fokus kita adalah untuk mengatasi punca banjir iaitu menangani semua longkang agar tidak tersumbat dengan sampah dan lalang seperti di dalam longkang tidak bertuan tersebut,”ujarnya.
Mengulas mengenai persediaan logistik bagi menghadapi banjir beliau berkata, pihaknya sudah menyediakan 6 bot yang mana empat milik Skuad Pantas dan dua bot lain diletakkan di Dewan Seraya Seksyen 17. – UTUSAN