KLANG: Tindakan warga asing bekerja secara haram dan berniaga tanpa lesen digempur pasukan penguatkuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam satu operasi dekat Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.
Dalam operasi bermula pukul 10 pagi itu, peniaga terbabit dikesan menjual lapan tong gas dapur atau petroleum cecair (LPG) serta aksesori telefon bimbit tanpa lesen di Taman Perindustrian Pulau Indah dan Kampung Sungai Pinang.
Pegawai Undang-Undang Jabatan Pelesenan MBDK, Muhammad Azlan Ab. Malek berkata, pemeriksaan tersebut hasil aduan dan risikan pihaknya terhadap aktiviti perniagaan khususnya dikendalikan warga asing.
Menurutnya, pemilik atau pengusaha premis sewajarnya sedia maklum berhubung penggunaan tenaga kerja asing seperti dinyatakan dalam permohonan dan syarat sah lesen.
“Pembantu-pembantu warga asing yang diupah atau digajikan hendaklah memperoleh permit atau kelulusan dari Jabatan Imigresen.
“Permit memang dinyatakan secara spesifik pekerja itu bekerja di syarikat tersebut dan dilokasi dibenarkan sahaja. Jadi sepatutnya tidak timbul dakwaan pemilik premis tidak mengetahuinya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi pada operasi tersebut.
Jelasnya, dalam operasi itu sebanyak 13 kompaun dikeluarkan dengan setiap satunya bernilai RM1,000. Selain itu, perintah sitaan barangan di lima premis dan empat penutupan premis haram dikuatkuasakan serta merta.
“Selagi mereka tidak mempunyai lesen maka premis itu tidak boleh teruskan perniagaan. Justeru, kita berharap peniaga ini mendapatkan lesen memandangkan MBDK telah membuka permohonan untuk tahun depan,” tegasnya.
Sementara itu, seorang peniaga dikenali sebagai Sharina, 38, ketika ditemui memberitahu baru 10 hari mengambil alih perniagaan salah sebuah kedai runcit di Kampung Sungai Pinang dan terpaksa menggajikan pekerja asing kerana kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.
“Lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ada, cuma lesen MBDK tiada. Lagipun, kedai saya kawasan kampung dan susah sikit sebab tiada lesen menduduki bagi permohonan lesen,” ujarnya.
Bagaimanapun, MBDK menjelaskan wanita itu boleh menyertai program pemutihan bagi mendapatkan Lesen Sementara. – UTUSAN