GEORGE TOWN : Mayat seorang lelaki dipercayai lemas ditemukan terdampar di atas batu di kawasan pesisir pantai berhampiran sebuah pangsapuri di Tanjung Tokong di sini, kira-kira pukul 6.34 petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, mangsa dikenali sebagai A. Sekar, 44, dan jarak lokasi mayatnya ditemukan dianggarkan kira-kira 50 meter dari kawasan pesisir pantai tersebut.
Katanya, sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu, bomba bergegas ke lokasi dengan kekuatan sembilan anggota termasuk penyelia.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi.
“Pihak bomba kemudian mengambil mayat mangsa sebelum dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan polis.-UTUSAN