Maut selepas hantar anak daftar universiti

Maut selepas hantar anak daftar universiti

FARHANA Omar menunjukkan gambar Allahyarham Abu Zaini Ibrahim ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Nahas melibatkan sebuah kereta merempuh tembok jambatan di Kilometer 21, Jalan Kuala Pilah-Tampin, dekat Johol di sini, petang kelmarin sehingga menyebabkan dua terbunuh berlaku ketika mangsa dua beranak dalam perjalanan pulang selepas menghantar ahli keluarga mendaftar menyambung pelajaran di Alor Gajah, Melaka.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Abu Zaini Ibrahim, 64, dan anak ketiganya, Izni Syafiq, 31, manakala isterinya yang juga merupakan penumpang kereta itu, Norizan Abd. Samad, 62, serta anak keempat mereka, Izni Syafiqah, 28, cedera parah.

Menantu Allahyarham Abu Zaini, iaitu Farhana Omar, 32, berkata, mentuanya dan adik iparnya keluar dari rumah kira-kira pukul 10 pagi menuju ke Alor Gajah, Melaka.

“Mereka bergerak dari rumah sekitar 10 pagi untuk pergi menghantar adik ipar (anak kelima), Izni Alya Natasha, 18,mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu.

“Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang, malah lokasi kemala­ngan tidak jauh dari rumah,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, semalam.

Menurut Farhana, ibu mentuanya kini berada dalam keadaan sedar dan stabil selepas menjalani rawatan akibat gegaran di otak.

“Adik ipar saya pula masih di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAN dan baru menjalani pembedahan di bahagian usus. Doktor menunggu keadaannya stabil terlebih dahulu untuk rawatan seterusnya iaitu gegaran di otak,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Gani berkata, berdasarkan siasatan kereta Perodua Axia yang dinaiki empat sekeluarga itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tembok jambatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN