SEPANG: Masyarakat perlu mengambil peranan sama dalam memastikan masalah sosial di negara ini tidak bertambah parah dengan mengambil sikap ‘menjaga tepi kain orang’.
Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, sikap itu perlu dilihat dari sudut positif supaya masing-masing cakna dengan apa yang berlaku di sekeliling bagi memastikan perkara tidak diingini dapat dielakkan.
Beliau berkata, tanggungjawab itu tidak boleh diletakkan ‘beban’ pada kerajaan 100 peratus kerana usaha memajukan negara perlu mendapat sokongan masyarakat dengan berganding bahu bersama kerajaan.
“Dalam teori ketamadunan, pembangunan fizikal perlu diseimbangkan atau seiring pembangunan sosial, jika tidak sukar untuk sesebuah negara mencapai keharmonian, kesejahteraan dan kedamaian.
“Jika peranan memastikan keharmonian masyarakat hanya dipertanggungjawabkan pada kerajaan atau pihak berwajib, pastinya sukar untuk semua isu diselesaikan, sebaliknya masyarakat juga seharusnya memainkan peranan.
“Peranan dimainkan masyarakat bermula dari rumah, peringkat komuniti setempat, di sekolah, tempat kerja yang akhirnya akan memberi impak kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan berita berhubung kes masalah sosial semakin membimbangkan termasuk tragedi pembunuhan kejam, penderaan kanak-kanak, buli siber, trend bunuh diri, keganasan rumah tangga dan perceraian yang kian memuncak.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, langkah segera perlu dilakukan bagi mengelak kisah-kisah tragis itu berulang.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, sekiranya apa yang berlaku di sekeliling kita bercanggah dengan undang-undang, peraturan atau norma masyarakat setempat, maka ia perlu dirujuk kepada pihak berwajib supaya tindakan selanjutnya dapat dilaksanakan.
Berliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, rakyat Malaysia perlu bertindak sebagai ‘tangan kanan dan kiri’ kerajaan dalam memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.
“Rasa bertanggungjawab terhadap jiran tetangga dan saudara-mara kian terhakis dalam budaya hidup masa kini dengan alasan ‘jangan jaga tepi kain orang’ sebagai jalan mudah untuk menidakkan rasa tanggungjawab.
“Walhal, banyak perkara dalam masyarakat kita hari ini menuntut supaya kita lebih bertanggungjawab dan banyak hal dapat diselesaikan sekiranya sikap bertanggungjawab ini disuburkan,” katanya. – UTUSAN