KUALA LUMPUR: Para pengunjung Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan warga sekitarnya kini dapat memanfaatkan kemudahan Masjid Az-Zahrawi yang mula beroperasi secara rasmi selepas memulakan Solat Jumaat pertama hari ini.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan, masjid berkenaan dibina dalam kawasan HKL berkeluasan 15,920 kaki persegi yang berupaya menampung 3,000 jemaah pada satu-satu masa.
Katanya, pembinaan Masjid Az-Zahrawi bertujuan menampung bilangan jemaah yang ramai khususnya ketika waktu solat Jumaat yang sebelum ini hanya bergantung kepada surau Madrasah Islamiah berusia lebih 28 tahun.
Mula dibina pada tahun 2017 oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kos bernilai RM15.1 juta itu, ia turut dilengkapi dewan solat tiga tingkat, dua bilik pengurusan jenazah, kemudahan lif, bilik seminar, laluan khas dan tandas bagi Orang Kurang Upaya (OKU), selain kawasan kuaters pegawai masjid.
“Senibina Masjid Ar-Zahrawi diilhamkan dari reka bentuk Islam moden dihiasi dengan perincian corak geometri Islam pada dinding, bukaan tingkap dan dinding mihrab.
“Rupa bentuk bongkah bangunan moden yang tegap dan berlapis menyerupai bentuk bongkah klasik era 60-an bangunan HKL mengelilingi bangunan masjid ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis Pengisytiharan Diri Solat Jumaat Pertama Masjid Az-Zahrawi itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
JAWI berkata, warna merah hati dipilih sebagai warna tingkap dan dinding kaca bahagian dalam untuk mencerminkan keunikan bangunan masjid yang menjadi sebahagian Kompleks HKL.
Ia turut berfungsi sebagai lokasi rehat dan santai bagi pengunjung HKL.
Lantai ruang solat utama masjid pula dihubungkan dengan ruangan terbuka setinggi tiga tingkat yang mencecah ke bahagian atas ruang bumbung.
“Ruangan terbuka di hadapan mihrab pula diterangi limpahan cahaya matahari yang bersinar melalui bumbung kaca yang berbentuk kubah tajam.
“Binaan menara masjid yang ikonik pula menjadi mercu tanda dilengkapi dengan kilauan hilal dan papan tanda yang dapat dilihat dari jauh sepanjang Jalan Raja Abdullah, Kampung Bharu,” katanya.
Usaha ini bertepatan dengan agenda yang digariskan di bawah Pelan Transformasi Al-Falah ke arah menambah baik dan memodenkan prasarana institusi Islam seperti masjid dan surau bagi manfaat umat Islam.
Sehingga kini terdapat 94 buah masjid, 147 surau Jumaat, dan 647 buah surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – UTUSAN