Masih berlaku pergerakan tanah di lokasi tanah runtuh di Taman Melawati

Masih berlaku pergerakan tanah di lokasi tanah runtuh di Taman Melawati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA: Masih berlaku pergerakan tanah di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, Ampang di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, penilaian awal dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati masih terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian. 

Justeru, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan meletakkan kanvas plastik tarpaulin di lereng bukit terlibat bagi mengelakkan hakisan selain dapat mengurangkan pergerakan tanah.

“Hasil dapatan mendapati pergerakan tanah dipercayai berlaku dari sebelah kiri lereng bukit. 

“Kanvas berukuran 30 meter x 20 meter akan diletakkan dengan harapan tiada berlaku pergerakan tanah. 

“Justeru, seramai 33 penduduk daripada 11 keluarga di Jalan E6 dinasihatkan untuk tidak menduduki rumah mereka dan berpindah di dewan orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian. 

Mengulas lanjut, menurutnya, pihak JMG dan JKR akan membuat penilaian sekali lagi esok bagi menentukan sekiranya terdapat lagi pergerakan di lokasi kejadian. 

Ditanya sekiranya keluasan hakisan tanah runtuh itu  akan menjadi lebih besar, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut boleh berlaku jika hujan berterusan. 

“Mungkin, sebab itu kita harap hujan akan berhenti. Selain itu, kerja pembersihan telah berjalan sehingga 80 peratus setakat ini dan kita akan selesaikan bagi membolehkan penduduk mengambil barangan peribadi mereka.

“Kejadian hanya melibatkan Jalan E6 jadi tiada keperluan penduduk di lorong lain dipindahkan,” katanya. 

Sementara itu, menurut Penguasa Kanan 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Shahrin Yusmar Mat Yusof,  pihaknya telah melakukan tindakan awal melalui kerja-kerja pembersihan longkang di bahagian atas bukit dengan menembak air bagi melancarkan aliran air.

Jelas beliau, ini kerana laluan air dalam longkang tersebut didapati tersumbat dipenuhi kayu dan batu dipercayai akibat semula jadi sehingga berlakunya pergerakan tanah. 

“Kita tembak air bagi mengurangkan beban kepada longkang sedia ada sebagai tindakan awal bagi mengurangkan kesan tersumbat,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya