Masdo bangga tercalon Anugerah MTV EMA 2024 - Utusan Malaysia

Masdo bangga tercalon Anugerah MTV EMA 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kugiran Masdo mengakui berbesar hati apabila tercalon sebagai wakil Malaysia dalam kategori Artis Asia Terbaik di acara berprestij Anugerah MTV EMA 2024 yang akan berlangsung di Manchester, England pada 11 November nanti.

Mengulas mengenai perkara itu, vokalisnya, Ali Sariah, 32, berkata, pencalonan tersebut merupakan satu pencapaian yang sangat bermakna buat Masdo selepas hampir sedekad bergelar anak seni.

Bagaimanapun, kata Ali, mereka enggan meletakkan harapan besar kerana calon juga hebat pada kedudukan mereka tersendiri di seluruh Asia.

“Kami mendapat pengesahan mengenai pencalonan itu sekitar seminggu yang lalu. Seperti biasa, kami tidak meletakkan harapan yang tinggi, sudah tercalon pun cukup berpuas hati.

“Sekiranya menang, memang satu bonus buat Masdo. Setakat ini, belum ada sebarang kepastian lagi kami akan menghadiri acara itu nanti,” katanya.

Selain Ali, Masdo turut dianggotai Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris).

Artis Asia lain yang tercalon dalam kategori sama adalah Mahalini dari Indonesia, ILLIT (Korea Selatan), BINI (Filipina), dan Sakurazaka46 (Jepun).

Penentuan pemenang akan dibuat menerusi undian yang mana sudah dibuka menerusi laman web rasmi anugerah itu.

MTV EMA adalah acara meraikan industri muzik dan budaya pop seluruh dunia dan dihadiri nama-nama hebat dalam industri hiburan.

Pencalonan tahun ini menyaksikan dominasi artis wanita dan bintang pop sensasi, Taylor Swift mendapat pencalonan terbanyak iaitu tujuh kategori termasuk Artis Terbaik, Video Terbaik, Pop Terbaik, dan lain-lain.

Turut unggul tercalon adalah Billie Eilish, Arian Grande, Charlie XCX, Sabrina Carpenter, Ayra Starr, Beyonce, Kendrick Lamar, dan LISA.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya