Masalah sosial Malaysia membimbangkan

Masalah sosial Malaysia membimbangkan

AHMAD Zahid Hamidi (empat dari kanan) bersama tetamu kenamaan menyempurnakan pelancaran Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan masalah sosial membimbangkan yang perlu dita­ngani segera demi kesejahte­raan rakyat.

Ia termasuk tragedi pembunuhan kejam, penderaan kanak-kanak, buli siber, trend bunuh diri, keganasan rumah tangga dan perceraian yang kian memuncak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah segera perlu dilakukan bagi mengelak kisah-kisah tragis itu berulang.

Kata beliau, kerajaan tidak berdiam diri sebaliknya me­ngatur langkah-langkah strategik dan bersatu bagi menangani masalah berkenaan.

“Tahap kemajuan tidak seharusnya diukur dari segi pembangunan ekonomi atau pembangunan infrastruktur semata-mata tetapi perlu me­rangkumi nilai kesejahteraan sosial dan mengambil kira pencapaian sosial serta insaniah.

“Walaupun Malaysia me­ningkat ke tempat ke-35 dalam pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu (tetapi) keberadaan kita di kedudukan ke-54 dalam Indeks Kemajuan Sosial me­nunjukkan belum mencapai keseimbangan diperlukan untuk menjadi negara maju.

“Dalam usaha mengejar pertumbuhan ekonomi, kita perlu melabur dalam kesejahteraan sosial,” katanya semasa berucap melancarkan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, semalam.

DSN 2030 terbahagi kepada empat teras iaitu memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi serta membangunkan keupayaan dan potensi diri bagi mencapai kesejahteraan hidup.

Dua teras lain adalah memperkasa institusi kekeluargaan dan masyarakat sebagai sistem sokongan sosial negara serta memupuk tanggungjawab sosial dan integriti rakyat.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia memerlukan sebuah dasar sosial yang lebih komprehensif dan menyeluruh untuk memacu agenda pembangunan sosial ekonomi negara.

Oleh itu, katanya, DSN 2030 sangat bertepatan dengan ke­perluan untuk mengimbangi pembangunan ekonomi de­ngan pembangunan sosial.

“Dasar ini akan menjadi payung besar yang akan me­nunjangi usaha serta strategi kerajaan dalam memperkukuh pembangunan sosial, sete­rusnya menjadikan Malaysia lebih makmur dan sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara berkata, DSN 2030 dapat meletakkan negara di kedudukan ke-25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi tidak lama lagi.

Beliau berkata, usaha untuk menangani isu sosial di dalam negara akan melibatkan lebih dari 10 kementerian dan dilakukan secara berkumpulan.

“Kita akan bergerak secara proaktif dalam merancang pendekatan baharu untuk mengurangkan masalah kesenjangan sosial. Kami akan pastikan usaha-usaha ini selari dengan perkembangan teknologi dan media sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya