PASIR PUTEH: Golongan pesawah di Kelantan lega apabila masalah pengairan yang membelanggu mereka dijangka selesai pada Ogos tahun depan apabila pam mudah alih di Kemubu dan Lemal seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) siap.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek yang menelan belanja RM20 juta itu sudah bermula ketika ini.
“Apabila siap nanti ia akan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air pada musim kemarau melibatkan kawasan Kota Bharu, Bachok dan sebahagian Pasir Puteh.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sudah memperuntukkan RM20 juta bagi pembelian pam air, namun pam air tidak dapat digunakan berikutan paras air terlalu rendah,” kata beliau selepas Majlis Penyampaian Watikah Kumpulan Pengguna Air (KPA) Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak di sini hari ini.
Mohamad berkata, ekoran itu KADA terpaksa membuat pembangunan lain bagi memastikan pam air berkenaan sampai sekali gus dapat mengalirkan air ke kawasan sawah.
Media sebelum ini melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya pembelian 20 unit pam air membabitkan nilai RM20 juta untuk kegunaan di Kelantan disegerakan.
Perdana Menteri berkata, ia berikutan Kelantan kini berdepan masalah musim kemarau berpanjangan sehingga memerlukan tindakan segera.
Katanya, paip di sungai Kelantan yang disediakan KADA tidak mencukupi memandangkan paras air yang semakin menurun akibat kemarau berpanjangan.- UTUSAN