BUKAN mudah untuk bertahan dalam dunia hiburan tanah air yang laluannya bergunung ganang dan bergelora.
Tetapi, pujian harus diberikan kepada penyanyi, Marsha Milan, 38, yang selepas dua dekad masih utuh malah berkembang karier seninya.
Kesungguhan Marsha membuktikan kemampuannya bukan baru bermula semalam. Malah percubaannya selama bertahun-tahun.
Bakat nyanyiannya yang sebelum ini dilihat sepi akhirnya selepas sekian lama, dipandang tinggi. Hari ini Marsha dihujani pelbagai tawaran untuk merakamkan lagu, termasuk lima runut bunyi untuk drama dan filem.
Tanpa kesungguhan dan minat, tidak Mungkin Marsha bertahan. Hari ini, dia meraikan penat lelah bertahun-tahun itu dengan rasa syukur.
“Alhamdulillah. Selepas dua dekad, akhirnya sekarang orang nampak kemampuan nyanyian saya.
“Tentunya saya berterima kasih kepada mereka yang meyakini dan menghargai bakat saya.
“Sekarang, masanya saya penuhi seberapa banyak peluang merakamkan lagu yang diberikan kepada saya,” katanya.
Marsha berkata demikian dalam sidang media program realiti, A Million Voice, baru-baru ini.
Penyanyi bersuara lantang ini bergandingan dengan dua nama besar dunia seni tempatan, Datuk Hattan dan Datuk Awie selaku juri program berkenaan.
Berkongsi lanjut, Marsha menceritakan perancangannya untuk menerbitkan sebuah album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu lamanya yang dirakam bersama syarikat Alternate Records.
“Album tersebut mungkin diterbitkan dalam tahun ini atau tahun hadapan. Belum ada ketetapan.
“Dan selepas itu barulah saya akan mulakan perancangan menerbitkan album solo pertama saya. Ada beberapa lagu yang masih belum sempat saya rakamkan” kongsinya.
KONSERT? DOAKAN…
“Sebenarnya saya takut nak buat.”
Demikian jawapan Marsha apabila ditanya mengenai konsert. Dalam ramai artis baharu berlumba-lumba menganjurkan konsert solo, Marsha pula masih berangan-angan.
Apa yang menghalang dia? Kalau dikata tiada penganjur yang sudi bekerjasama, tidak mungkin. Marsha sendiri mendedahkan pernah ditawarkan penganjur untuk mengadakan konsert.
“Kawan-kawan industri ramai yang sudah ada konsert sendiri, Bila agaknya giliran saya?
“Sebenarnya ada pihak berminat menganjurkan showcase untuk saya. Tetapi kerana kekangan masa, terpaksa saya tunda.
“Terus terang, saya belum berani untuk membuat konsert solo. Saya tak mahu buat konsert kosong. Kalau boleh, mahukan konsert yang berkualiti dan berkonsep.
“Kalau ikutkan, tempoh 20 tahun dalam industri muzik sudah cukup melayakkan saya menganjurkan konsert solo. Apa pun doakan, mana tahu, tahun hadapan?” katanya.