Margin untung susut Bumipeda sambut baik subsidi petrol bersasar

Margin untung susut Bumipeda sambut baik subsidi petrol bersasar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda) menyambut baik hasrat kerajaan melaksanakan program subsidi petrol bersasar yang dijangka diumumkan dalam Bajet 2025 oleh Perdana Menteri, esok.

Presidennya, Datuk Abd. Aziz Sapian berkata, hasrat tersebut selaras dengan penyusutan margin komisen yang dihadapi syarikat minyak dan gas serta pengusaha stesen minyak, sekali gus ia menjadi kebimbangan buat mereka.

“Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, perubahan ketara dalam pasaran minyak global, termasuk turun naik harga minyak mentah, kadar pertukaran asing yang tidak menentu, dan peningkatan kos tenaga kerja serta teknologi, telah menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil.

“Di samping itu, perkembangan teknologi hijau dan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik turut memberi cabaran baharu kepada pengusaha stesen minyak, yang perlu menyesuaikan perniagaan mereka untuk kekal relevan dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Abd. Aziz lagi, sejak beberapa dekad lalu, syarikat minyak dan gas telah meningkatkan pelaburan mereka, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh terutamanya pada era 1980-an dan 1990-an bagi menyumbang kepada peningkatan jumlah volum jualan.

Walaupun permintaan kenderaan hibrid dan elektrik semakin meningkat, tetapi volum jualan petrol dan diesel masih berkembang menyebabkan kos operasi meningkat dan margin keuntungan semakin terhimpit.

Keadaan ini menyebabkan syarikat minyak dan gas kurang berminat untuk melabur semula dalam menaik taraf kemudahan stesen. Malah, beberapa syarikat antarabangsa seperti BP dan ExxonMobil telah keluar dari pasaran Malaysia.

Jelas beliau, selain memastikan subsidi bersasar untuk pengguna, pengusaha stesen minyak juga memerlukan sokongan kerana hampir 3,000 pengusaha stesen minyak bumiputera berpotensi terkesan sekiranya subsidi petrol bersasar ini tidak disertai dengan semakan semula struktur komisen yang tidak berubah sejak 1980-an.

Katanya, struktur komisen yang masih terikat dengan formula automatic pricing mechanism (APM) yang lama perlu disemak semula bagi menangani tekanan kewangan yang semakin serius dihadapi oleh pengusaha stesen minyak hari ini.

“Tanpa sistem komisen yang dikemas kini mengikut realiti operasi semasa, cabaran yang dihadapi oleh pengusaha stesen minyak akan semakin serius. Sebagai contoh, dalam program subsidi diesel bersasar baru-baru ini, margin keuntungan kami berkurangan.

“Malah, bagi stesen minyak yang mempunyai jualan diesel yang tinggi, mereka terpaksa menanggung kos operasi yang melebihi margin keuntungan,” jelasnya.

Bumipeda turut menekankan bahawa jika kerajaan bercadang untuk melaksanakan subsidi bersasar, perubahan perlu dilakukan secara menyeluruh dan bukan hanya pada komponen tertentu.

“Subsidi bersasar perlu disertakan dengan pembaharuan mekanisme yang lengkap. Sistem keseluruhan perlu dikaji semula bagi mengelakkan ketidakadilan dan memastikan industri kekal lestari,” tegas Abd Aziz.

Jualan diesel di seluruh Semenanjung Malaysia pada bulan Jun mencatat purata 28.6 juta liter sehari, tanpa semakan semula struktur komisen, pengusaha stesen minyak akan berdepan dengan cabaran besar dalam mengekalkan operasi mereka.

Lebih daripada 30,000 pekerja dalam sektor ini juga berpotensi terkesan sekiranya tiada semakan semula terhadap struktur komisen semasa.

Bumipeda turut menyuarakan kejayaan Dasar Ekonomi Baru Malaysia dalam memperkasa pengusaha Bumiputera, yang kini menguasai 70 peratus daripada industri runcit minyak.

“Kejayaan ini perlu dipertahankan bagi memastikan pengusaha bumiputera terus diperkasa dalam industri runcit minyak yang amat penting ini.

“Dengan kejayaan mengurangkan ketirisan subsidi lebih RM250 juta hanya dalam tempoh sebulan sejak program subsidi diesel bersasar bermula, adalah penting untuk memastikan 3,800 pengusaha stesen minyak dan 30,000 pekerja mereka tidak terjejas,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya