PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menubuhkan satu pasukan khas bagi memperhalusi dan merencanakan pelan transformasi membabitkan 6,666 lot premis perniagaan dan komersial milik agensi itu di seluruh negara.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah tiba masanya satu pelan bersepadu untuk mentransformasi semua premis komersial di seluruh negara agar berwajah baharu, lebih ceria, dinamik dan mampu menjadi salah satu wahana penting memperkasakan agenda ekonomi bumiputera.
“Berasaskan laporan, maklum balas orang ramai dan lawatan mengejut ke premis-premis komersial Mara termasuklah arked-arked, sudah tiba masanya untuk satu pelan bersepadu untuk mentransformasi semua premis-premis komersial.
“Justeru, Majlis Mara bersetuju untuk satu pasukan khas ditubuhkan bagi memperhalusi dan merencanakan pelan transformasi yang melibatkan 6,666 lot premis perniagaan dan komersial Mara di seluruh negara,” katanya dalam Facebook selepas mempengerusikan Majlis Mara hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lokasi arked Mara ibarat ‘hidup segan, mati tidak mahu’ apabila pusat komersial dan perniagaan tersebut kosong dan dalam keadaan suram.
Malah Asyraf Wajdi pernah memberi amaran bahawa Mara tidak berkompromi dengan penyewa premis yang culas serta melanggar kontrak termasuk tidak membuka kedai dan menjadikan lot sewa sebagai stor sehingga menyebabkan premis perniagaan di bawah agensi itu dilihat sendu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Mara juga bersetuju untuk memperkukuhkan lagi sistem pemantauan dan penguatkuasaan agar kebajikan pelajar terutamanya penyediaan makanan di dewan-dewan selera institut pendidikan Mara (IPMA) dan Majlis Rendah Sains Mara (MRSM) terpelihara dan berada pada tahap terbaik.
Katanya, Majlis Mara bersetuju dengan kelulusan segera RM400,000 untuk membaiki segera tandas-tandas, bilik guru di MRSM Terendak. – UTUSAN