LUMUT: Empat pemilik rumah di Sitiawan di sini, berdepan tuntutan bayaran elektrik bernilai ratusan ribu ringgit selepas premis mereka digunakan oleh penyewa melakukan aktiviti bitcoin, dalam tempoh antara Jun tahun lalu hingga Ogos lalu.
Penyewa melakukan penyambungan elektrik secara haram hingga mengakibatkan sering berlaku gangguan bekalan elektrik di kawasan perumahan terlibat.
Pada masa sama, pemilik rumah tidak mengetahui kegiatan penyewa tersebut kerana semakan bil elektrik bulanan menunjukkan kadar biasa premis kediaman.
Seorang pemilik rumah hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 43, memberitahu menyewakan rumah teres setingkat miliknya di Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP) kepada seorang lelaki pada kadar RM500 sebulan pada Januari lalu.
Jelasnya, lelaki itu hanya membayar sewa bulanan pada tiga bulan pertama sahaja sebelum gagal dihubungi memaksanya yang menetap di Pulau Pinang, datang ke BBSAP untuk membuat pemeriksaan.
Katanya, sebaik tiba, didapati rumah tersebut berada dalam keadaan teruk dan didapati pihak berkuasa telah melakukan serbuan di situ dan terdapat notis tuntutan bil elektrik berjumlah RM51,407.
“Kira-kira empat bulan kemudian, rumah saya sekali lagi diserbu selepas dipercayai penyewa tersebut menceroboh premis itu untuk kegiatan bitcoin dan saya menerima notis tuntutan kedua berjumlah RM57,808,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat ADUN Astaka di sini hari ini.
Menurutnya, selain berdepan tuntutan bil elektrik tidak masuk akal berjumlah RM109,215 itu, beliau turut kerugian puluhan ribu ringgit lagi akibat kerosakan rumah selepas dua kali serbuan pihak berkuasa.
Masalah sama turut dihadapi seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai
Lim, 40an, yang menyewakan rumahnya di Taman Berjaya kepada seorang lelaki pada Jun tahun lalu sehingga lelaki itu menghilangkan diri pada akhir tahun lalu.
Jelasnya, ia selepas seorang jiran membuat laporan rumahnya hampir terbakar dipercayai akibat penggunaan elektrik berlebihan untuk kegiatan bitcoin.
“Tidak lama kemudian saya menerima tuntutan bil elektrik berjumlah RM276,208 yang perlu dilunaskan.
“Inilah pertama kali saya menyewakan rumah untuk mencari pendapatan tambahan, sebaliknya sekarang kemungkinan diisytiharkan muflis kerana tidak mampu membayarnya,” ujar beliau.
Bagi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ping, 40an, beliau kini berdepan tuntutan bil elektrik berjumlah RM260,522 selepas rumahnya di Taman Sentosa disewakan kepada seorang lelaki pada Julai tahun lalu. – UTUSAN