SHAH ALAM: Ahli parlimen dan pembangkang disarankan supaya memanfaatkan peluang pada perbahasan Belanjawan 2025 nanti untuk menyuarakan pandangan yang konstruktif berbanding terus berpolitik.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, kesemua ahli parlimen mempunyai masa yang cukup untuk menelaah dokumen belanjawan yang akan diletakkan di atas meja pada hari pembentangannya pada 18 Oktober nanti.
“Mereka mempunyai masa yang cukup untuk menelaahnya dan seterusnya mengambil kesempatan untuk berbahas. Saya katakan kalau kita hendak bercakap pasal politik, sampai kiamat pun tak habis.
“Sebab itu ada masanya kita berpolitik, keluar dari dewan, kamu naik pentas dan bercakaplah sampai Subuh pun. Tetapi kalau di dalam dewan, lebih baik ambil kesempatan untuk berbicara tentang benda yang lebih berasas,” katanya ketika ditemui pada Program Townhall Ikon Nasional bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat sempena Minggu Destini Siswa (MDS) Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan nanti disasar untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara.
Malah, turut akan disentuh adalah subsidi pendidikan yang akan dilakukan penyasaran semula apabila ketika ini ia masih diberikan secara meluas termasuk golongan berpendapatan tinggi.
Dalam pada itu, Johari memaklumkan kerajaan dijangka tidak berdepan masalah untuk mendapatkan sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2025 dan bersedia mengendalikan kaedah pengundian pada akhir penggulungannya nanti.
“Saya hendak tengoklah berapa orang yang tak berani ataupun tak mahu menyokong. Sebab bila tak menyokong maknanya dia juga tidak melihat betapa pentingnya belanjawan untuk urusan pembangunan negara.
“Jadi, saya tak jangka ada orang yang akan menolak belanjawan. Sokongan nanti ada kaedah tertentu sama ada suara ataupun melalui undi belah bahagi, terpulang pada hari itu, tengok macam mana kehendak mereka, saya akan kendalikan insya-Allah,” ujarnya. – UTUSAN