Mamat Khalid orang pertama ambil saya semula ke bidang seni - Nasir Jani - Utusan Malaysia

Mamat Khalid orang pertama ambil saya semula ke bidang seni – Nasir Jani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Pengarah dan pelakon, Nasir Jani, mendedahkan Allahyarham Mamat Khalid adalah individu pertama yang mengajaknya kembali ke dunia seni selepas namanya ‘dibekukan’ akibat kelantangan mengkritik isu berkaitan industri tersebut.

Mengimbau memori yang berlaku pada tahun 2005 itu, Nasir memaklumkan Mamat mengajaknya berjumpa di sebuah restoran di Ampang sebelum menjelaskan hasratnya menawarkan sebuah watak dalam filem Rock.

“Ketika itu saya sudah balik ke Melaka kerana ada banyak perkara terjadi sehingga saya tidak boleh lagi cari makan di Kuala Lumpur.

“Kemudian pelakon, Hasnul Rahmat memaklumkan kepada saya bahawa Mamat mahu mengajak saya muncul sebagai cameo (pelakon jemputan) untuk filem Rock. Kami kemudian berjumpa di Ampang Point.

“Malam itu, kami berbincang sampai ke Subuh. Kata Mamat, dia mahu beri saya watak pegawai kerajaan kerana di dunia nyata, saya melawan kerajaan. Saya kata boleh.

“Jadi Mamat adalah orang pertama yang mengajak saya kembali kepada dunia seni ketika saya sudah meluat dengan industri itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, semalam

Nasir berkata demikian ketika diminta bercerita tentang kenangannya bersama Allahyarham Mamat.

Kata Nasir, lebih manis lagi, Mamat turut mendedahkan Rock ialah naskhah yang diinspirasikan daripada filem Kembara Seniman Jalanan yang diarahkannya pada tahun 1986.

“Saya tanya Mamat kenapa mahu buat filem Rock? Katanya dia mahu beri tribute kepada saya.

“Mamat kata, jika tiada Kembara Seniman Jalanan, tidak akan ada budaya Rock dan perubahan dalam dunia hiburan. Begitu juga dengan sikap anak muda termasuklah gaya rambut. Kembara Seniman Jalanan adalah inspirasi saya.

“Lucunya, saya ingat dia buat satu filem Rock sahaja. Rupanya selepas itu, dia bikin tiga lagi ‘Rock’ iaitu Rock Oo!, Rock Bro dan Rockers Never Dai.

“Itulah penghormatan yang terbesar di mana Mamat boleh hasilkan balik filem Rock walaupun selepas 30 tahun usia Kembara Seniman Jalanan,” jelasnya.

Menurut Nasir, pemergian Mamat adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepda dirinya, malah buat industri seni negara.

“Kami sangat rapat. Dulu, bilik itu (salah satu bilik di Sarang Art Hub) adalah tempat kami berbual dan bertukar idea.

“Sekarang bila Mamat sudah tiada, pintu bilik itu pun saya tidak kuat untuk buka,” katanya dalam nada sebak.

Allahyarham Mamat Khalid, pada tahun 2021, rebah di restoran miliknya di Sarang Art Hub.

Pengarah itu disahkan meninggal dunia sekitar pukul 12.30 tengah hari ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak.

Untuk rekod, Filem Rock yang pertama kali ditayangkan pada 8 Disember 2005 menceritakan dilema ramai pemuzik berbakat pada era kegemilangan rock sekitar 1980-an. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya