PUTRAJAYA: Malaysia akan menerima ketibaan dua kapal Tentera Laut Jerman, iaitu frigat FGS Baden-Württemberg dan kapal sokongan FGS Frankfurt Am Main di Terminal Kapal Persiaran Port Klang (PKCT), Selangor bermula hari ini hingga Jumaat.
Kementerian Luar (KLN) dalam kenyataan memakulmkan, kapal tersebut merupakan sebahagian daripada German Navy Indo-Pacific Deployment 2024.
Jelas kenyataan itu, semasa berlabuh di PKCT, kapal-kapal tersebut akan menghoskan majlis resepsi, sesi dialog dengan pemain industri, lawatan berpandu ke kapal, dan interaksi antara kru dengan Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia.
“Kapal-kapal tersebut dijadual berlepas pada 18 Oktober ini ke Laut Andaman dan seterusnya ke Lautan Hindi.
“Semasa pelayaran, kapal-kapal tersebut akan mengadakan latihan passing exercise (PASSEX) dengan aset Tentera Laut Diraja Malaysia yang berpangkalan di Lumut, Perak,” katanya hari ini.
Ujarnya, kunjungan kapal-kapal Tentera Laut Jerman tersebut mengesahkan hubungan erat antara Malaysia dan Jerman, menyaksikan pertukaran lawatan di peringkat tertinggi khasnya Lawatan Rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Jerman pada 10 hingga 15 Mac lalu.
“Semasa lawatan berkenaan, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan Canselor Herman, Olaf Scholz serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeyer, di mana perbincangan telah tertumpu kepada kerjasama ekonomi yang semakin erat.
Jelasnya, menerusi kunjungan ini dan kerjasama sedia ada yang berterusan dalam pelbagai bidang, Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Jerman. – UTUSAN