Malaysia tawar khidmat SMART ke negara ASEAN ditimpa bencana

Malaysia tawar khidmat SMART ke negara ASEAN ditimpa bencana

PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) mengeluarkan tiga mangsa gempa bumi di Gaziantep, Turkiye pada 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menawarkan khidmat daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara-negara ASEAN yang mengalami kesan bencana yang teruk.

Perkara itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) kali ke-12 di Brunei bagi membincangkan kepentingan usaha bersama menghadapi peningkatan kekerapan dan kesan bencana alam, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, SMART merupakan satu-satunya pasukan elit penyelamat dari ASEAN dan pasukan kedua di Asia selepas Jepun.

Katanya, SMART diiktiraf oleh International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) di bawah United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs.

“Saya juga berkongsi pendirian bahawa Malaysia komited dalam memperkukuh daya tahan bencana melalui inisiatif bersifat tempatan dan serantau.

“Ini termasuk Dasar Pengurangan Risiko Bencana 2030 serta program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan kumpulan rentan seperti wanita, warga emas dan orang kurang Upaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, dasar dan program ini jelas menunjukkan komitmen dan tindakan Malaysia terhadap pengurusan risiko bencana dengan tumpuan terhadap mitigasi risiko.

Pada masa sama, katanya, usaha Malaysia mengadaptasi penggunaan teknologi dalam pengurusan bencana turut dibangkitkan iaitu melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir Nasional (PRABN), yang mampu meramalkan banjir sehingga tujuh hari lebih awal.

“PRABN mengeluarkan amaran kepada orang awam dalam tempoh 48 jam, iaitu salah satu inovasi penting dalam mempertingkatkan kecekapan tindak balas bencana.

“Usaha ini turut diperkukuh dengan pelaburan besar dalam infrastruktur kritikal bagi memastikan perkhidmatan penting terus beroperasi ketika bencana,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia berperanan aktif di peringkat ASEAN dengan menyokong Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre).

Selain itu, Malaysia turut terlibat dalam latihan dan simulasi seperti Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Serantau ASEAN (ARDEX) dan Pelan Tindak Balas Bencana Bersama ASEAN (AJDRP).

Katanya, Malaysia juga menekankan pentingnya pengintegrasian dasar inklusif dalam rangka kerja pengurusan bencana ASEAN untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan.

“Selain itu, Malaysia juga akan memperhebatkan penyertaan dalam mekanisme serantau seperti ASEAN Standby Arrangements (SASOP) yang memastikan respons kecemasan bencana dapat diselaraskan dengan cekap dan tepat pada masanya.

“Ini termasuk penilaian aset dan keupayaan negara untuk menyokong tindak balas serantau yang lebih pantas dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya