PETALING JAYA: Malaysia menyatakan sokongan terhadap penyatuan Semenanjung Korea, sekali gus menyaksikan keamanan serta kemakmuran yang berpanjangan dan berkekalan boleh diwujudkan.
Perkara itu antara intipati Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-25 ketika Malaysia menghadiri perbincangan antara pimpinan ASEAN bersama Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.
Menurut Anwar, beliau dalam persidangan itu telah menyatakan pendirian Malaysia yang mengalu-alukan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-ROK sempena ulang tahun Hubungan Dialog ASEAN-ROK Ke-35.
“Saya turut menyatakan harapan Malaysia untuk menyaksikan kerjasama jangka panjang antara negara anggota ASEAN dan Korea dipertingkatkan terutama dalam transformasi digital, latihan dan sumber manusia.
“Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap penyatuan Semenanjung Korea, sekali gus menyaksikan keamanan serta kemakmuran yang berpanjangan dan berkekalan dapat diwujudkan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau menggesa pengukuhan kerjasama ASEAN-Jepun terkait transformasi digital, rantaian bekalan dan usaha meningkatkan penggunaan serta kemajuan kecerdasan buatan dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-27. – UTUSAN