Malaysia seru dunia bertegas, dakwa Israel jenayah tanpa henti

Malaysia seru dunia bertegas, dakwa Israel atas jenayah tanpa henti rakyat Palestin

WARGA Palestin melihat sendiri kemusnahan selepas serangan tentera Israel di Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu, mengambil tindakan tegas dan mendakwa rejim Zionis Israel atas jenayahnya terhadap rakyat Palestin.

Kementerian Luar dalam kenyataan menegaskan, masa untuk bertindak telah lama tiba dan semua negara mesti segera menghentikan kekejaman ini.

Jelasnya, di mana-mana di dunia, pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan hak asasi manusia, termasuk genosid dan jenayah perang, tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.

“Hanya Israel bertindak tanpa sebarang akibat. Ini tidak boleh diterima.

“Israel tidak boleh lagi berlindung di sebalik sejarahnya untuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, tragedi Oktober lalu, genap setahun, menjadi peringatan suram tentang keganasan tanpa henti ke atas rakyat Palestin.

Sepanjang setahun ini, rejim Zionis Israel telah membunuh secara purata 115 rakyat Palestin setiap hari, dan mencederakan 274 lagi yang kebanyakannya warga emas, wanita, dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

Jelasnya, komuniti hancur, dan kawasan di Gaza kini tidak lagi dapat didiami, maka dunia tidak boleh terus menutup mata terhadap nyawa yang hilang dan masa depan rakyat Palestin yang dirampas.

“Kempen keganasan dan penindasan rejim Zionis Israel berterusan tanpa tanda berhenti, meskipun pelbagai rundingan, resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah dibuat.

Rejim ini tetap berdegil, melaksanakan genosid, memperluas penempatan haram, memusnahkan infrastruktur penting, dan kini melanggar kedaulatan Lubnan,” katanya.

Malaysia mengulangi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.

Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk memastikan keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya