Malaysia sedia pelan pemindahan jika Unifil berundur dari Lubnan

Malaysia sedia pelan pemindahan jika Unifil berundur dari Lubnan

MOHAMAD Hasan menyampaikan bantuan dalam Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan, Bantuan Am dan Pelbagai Bagi Peringkat Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan telah bersedia dengan pelan pemindahan untuk membawa keluar kesemua lebih 800 pegawai dan anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 jika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat keputusan pasukan pengamannya berundur dari Lubnan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buat masa ini perbincangan sentiasa dilakukan wakil tetap Malaysia ke PBB dan apa sahaja keputusan akan segera dimaklumkan kepada pihak Kementerian Pertahanan.

Jelas beliau, keputusan berundur dari Lubnan berkenaan memerlukan mandat daripada PBB dan bukanlah kehendak negara-negara lain secara bersendirian.

“Buat masa ini masih belum ada keputusan (tentera pengaman berundur atau tidak) tetapi modus operandi, pelan evakuasi semua sudah siap. Mahu bawa ke mana tidak bolehlah diberitahu kerana nanti ada yang serang.

“Cuma ‘ground commander’ yang akan beri maklumat terkini perlu berundur atau tidak. Sebaik sahaja ‘ground commander’ kata mereka mesti dikeluarkan maka gerakan mengevakuasi tentera pengaman PBB termasuk Malaysia akan dibuat secepat mungkin,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan, Bantuan Am dan Pelbagai Bagi Peringkat Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau, di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi, pengunduran secara bersama pasukan Malbatt 850-11 di bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (Unifil) itu juga secara tidak langsung akan memberi lebih jaminan serta mendapat perlindungan daripada PBB.

“Ada berbelas negara menyertai Unifil di Lubnan, keadaan di sana amat tegang dan kita telah menyuarakan agar PBB melihat keberadaan Unifil untuk kita buat gerak kerja, sebab kita tidak boleh keluarkan secara unilateral atau bersendirian,” kata beliau.

Sementara itu, Mohamad memaklumkan, Malaysia akan membawa suara tegas supaya negara Komanwel memperjuangkan hak asasi seperti mana perjuangan terdahulu dalam menghapuskan Dasar Aparteid di Afrika Selatan.

Ketegasan itu akan disuarakan pada Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Samoa yang akan berlangsung pada 25 dan 26 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya