KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan sasaran untuk menjadikan negara ini sebagai hab air bagi negara-negara membangun dan rantau ASEAN menjelang 2040.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, menerusi pelan strategik ini, Malaysia dijangka menjadi pusat rujukan global dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi serta pembangunan bakat dalam sektor air.
Menurut beliau, sektor air dilihat menawarkan potensi besar sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
“Dengan tumpuan terhadap peningkatan pelaburan dalam teknologi air serta pembangunan kemahiran dan penyelidikan, Malaysia berhasrat membangunkan infrastruktur air bagi mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa.
“Langkah ini dijangka menarik pelaburan asing dan sekaligus membuka peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Pelan Hala Tuju Transformasi AIR 2040 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu berkata, pembangunan hab air ini diharap mampu memperkukuhkan kerjasama dengan negara-negara serantau dalam menangani isu bekalan air dan mengoptimumkan sumber yang ada.
Kata beliau, melalui usaha berterusan ini, Malaysia bukan sahaja ingin memastikan kelestarian sumber air tempatan tetapi juga menjadi penyumbang utama dalam penyelesaian isu air di peringkat global.
“Ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan global dalam sektor air yang berdaya saing.
“Dengan perancangan yang teliti, sasaran ini berpotensi membawa impak besar kepada ekonomi negara serta meningkatkan kedudukan Malaysia di mata dunia,” jelasnya.
Selain itu, Fadillah berkata, perubahan iklim telah membawa kesan yang semakin ketara kepada sumber air negara seperti peningkatan kejadian cuaca ekstrem seperti banjir besar, kemarau panjang dan penyusutan sumber air.
Katanya, perkara ini telah menuntut tindakan segera dan proaktif untuk mengelakkan negara daripada menghadapi krisis air yang lebih besar pada masa akan datang.
“Kawasan-kawasan tertentu sudah menunjukkan tanda-tanda kritikal dalam pengurusan air. Tindakan segera diperlukan untuk memastikan sumber air kita bukan sahaja mencukupi tetapi juga terurus dengan lestari.
“Kerajaan akan memastikan penguatkuasaan yang tegas dan proaktif terutama dalam mengawal pencemaran sumber air melalui undang-undang yang lebih ketat dan pengurusan sektor air yang lebih cekap,” katanya. – UTUSAN