PETALING JAYA: Malaysia mahu meningkatkan import daging dan beras dari Pakistan dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu antara perkara yang akan diberi perhatian dengan kadar segera.
“Tentang pembelian daging, ia tidak sepatutnya menjadi masalah dan kami akan mengkajinya. Kami tetap membeli dari negara lain, jadi saya tidak melihat sebarang sebab kenapa kami tidak dapat membelinya daripada Pakistan. Tidak ada masalah dengan halal.
“Sama juga dengan beras. Kami akan membeli beras dari Pakistan.Kita telah menetapkan 100,000 tan. Kita akan melihat mekanisme harga dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di kediaman rasmi beliau, semalam.
Memetik laporan Astro Awani, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga mahu meningkatkan kerjasama dalam pemerkasaan tenaga kerja mahir terutamanya melibakan bidang teknologi maklumat (IT), digital dan kecerdasan buatan (AI).
“Tentang kolaborasi dan pekerja mahir, kita menanti-nantikannya kerana kita akan fokus kepada pekerja yang diperlukan untuk memenuhi permintaan baharu, pelaburan yang besar, mungkin yang terbesar di kawasan ASEAN, dalam bidang IT, digital, dan AI.
“Alhamdulillah, Malaysia adalah salah satu hab penting bagi industri semikonduktor. Kami boleh berkolaborasi dalam bidang itu juga,” katanya. – UTUSAN\