PUTRAJAYA: Malaysia mahu proses dokumentasi untuk menjadikan Timur Leste sebagai anggota penuh ASEAN dipermudahkan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua sedia maklum bahawa Timor Leste telah pun menjadi sebagai negara pemerhati sejak beberapa tahun lalu, malah usaha menjadikannya sebagai anggota penuh memang sedang berjalan dan dipercepatkan.
Menurutnya, beliau difahamkan, dokumentasi itu banyak membabitkan tonggak dan kluster ekonomi.
“Kita telah minta proses itu dipendekkan, dipermudah dan dipercepatkan. Bagi saya ada juga ahli ASEAN yang belum mencapai sepenuhnya syarat-syarat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan tema dan logo Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, di sini hari ini.
Ditanya sama ada Malaysia akan membawa hasrat dan cadangan itu dalam mesyuarat ASEAN nanti, Mohamad berkata, agenda itu belum dimasukkan dalam mesyuarat itu, namun keputusan sama ada Timur Leste dilantik anggota penuh perlu dicapai secara konsensus antara 10 negara ASEAN.
Pada 2022, pemimpin Asia Tenggara mencapai persetujuan untuk membenarkan secara berprinsip Timor-Leste menyertai blok ASEAN yang dibarisi 10 negara anggota.
Timor-Leste adalah negara ‘termuda’ di Asia Tenggara, dengan memperoleh kemerdekaan daripada Indonesia pada 2002 selepas pendudukan selama 24 tahun.
Pemimpin rantau ini sekali gus bersetuju memberikan status pemerhati dan hak kepada Timor-Leste untuk menghadiri sesi sidang kemuncak serta mesyuarat ASEAN.
Bekas tanah jajahan Portugis itu merupakan antara negara termiskin di dunia, selain berdepan kemelut ketidaksaksamaan, kekurangan zat makanan dan pengangguran. – UTUSAN