PETALING JAYA: Malaysia berkongsi kemajuan dalam Pengurangan Risiko Bencana (DRR) dengan menekankan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 di Persidangan Menteri-Menteri Asia Pasifik Mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) di Manila, Filipina.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar itu menandakan perubahan penting dalam pendekatan Malaysia terhadap pengurusan risiko bencana, dengan menekankan terhadap mitigasi risiko.
Katanya, dasar bersifat holistik itu memberi mandat jelas untuk mengintegrasikan DRR ke dalam perancangan pembangunan dan mengamalkan pendekatan dari bawah ke atas.
Katanya, ia juga memberi hak upaya kepada kerajaan tempatan, pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk memainkan peranan aktif bersama-sama Kerajaan Pusat dalam mengarus perdanakan konsep DRR di peringkat tempatan.
“APMCDRR membuka peluang bernilai bagi Malaysia melaksanakan amalan terbaik global, mengguna pakai strategi berkesan dari seluruh rantau Asia Pasifik ke arah memperkukuh kerangka pengurusan bencana sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, beliau turut memberi penekanan terhadap komitmen Malaysia dalam memanfaatkan sepenuhnya teknologi terkini dalam persediaan menghadapi bencana.
Katanya, Sistem Ramalan Cuaca Berangka (NWP) negara membolehkan amaran awal dikeluarkan sehingga tujuh hari lebih awal, bagi membolehkan persediaan lebih tersusun di bandar-bandar besar.
“Ini melengkapi Program Ramalan dan Amaran Banjir Kebangsaan yang menyediakan ramalan tepat bagi kemungkinan banjir melanda, merentasi 89 lembangan sungai utama.
“Strategi menyeluruh ini memberi impak yang ketara, mengurangkan kerugian kewangan akibat Monsun Timur Laut daripada AS$220 juta pada tahun 2022 kepada AS$60 juta pada tahun 2023.
“Ini menunjukkan keberkesanan inisiatif DRR kami dalam melindungi nyawa dan sumber,” katanya.
Ahmad Zahid yang dipertanggungjawabkan ke atas Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, usaha Malaysia dalam pengurusan risiko bencana kekal teguh dan persidangan dihadirinya mengukuhkan lagi komitmen negara anggota untuk meningkatkan daya tahan di seluruh rantau ini.
“Menerusi kerjasama dan perkongsian amalan terbaik, kita berupaya membina daya komuniti yang lebih ampuh dan berdaya tahan, lebih bersedia bagi mendepani cabaran mendatang,” katanya.
Peluang menghadiri persidangan di Manila itu turut digunakan dengan melakukan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Filipina, Sara Duterte.
“Dalam perbincangan itu, kami meneroka pelbagai peluang kerjasama antara kedua-dua negara, termasuk menembusi potensi industri halal, memperkukuhkan kerjasama TVET dan meneroka peluang perdagangan baharu,” katanya. – UTUSAN