Malaysia fokus tingkat hasil pengeluaran sawit

Malaysia fokus tingkat hasil pengeluaran sawit

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan hasil pengeluaran sawit berbanding menebang kawasan hutan untuk penambahan kawasan penanaman sawit.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, minyak sawit Malaysia secara khusus merangkumi 5.7 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit yang membentuk hanya 0.1 peratus daripada tanah pertanian global.

Bagaimanapun, menurut beliau, minyak sawit milik negara menyumbang hingga 20 peratus eksport minyak dan lemak yang boleh dimakan dunia.

Katanya, minyak sawit merupakan tanaman yang sangat cekap dengan mencapai hasil sebanyak 3.3 tan metrik sehektar berbanding minyak kacang soya (0.5 tan metrik sehektar), minyak biji sesawi (0.8 tan metrik sehektar) dan minyak bunga matahari (0.8 tan metrik sehektar).

“Kita tidak lagi akan melakukan sebarang penebangan hutan di negara kita. Kita ada 5.7 juta hektar, itu sudah cukup.

“Sekarang, kita perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan hasil, menghasilkan secara mampan dan mendapat nilai maksimum yang lebih baik daripada terus memperluas penggunaan tanah,” katanya semasa berucap pada Kongres Minyak dan Lemak Antarabangsa 2024 (OFIC 2024), di sini.

Dalam pada itu, Johari berkata, skim pensijilan yang dibangunkan Malaysia iaitu Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dilihat mampu menangani kriteria kemampuan global utama melalui kebolehkesanan produk, bebas penebangan hutan, kesahihan hak milik tanah dan amalan buruh yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, seluas 4.6 juta hektar bersamaan dengan 81.24 peratus daripada ladang kelapa sawit di Malaysia mendapat pensijilan MSPO sehingga Ogos 2024.

Jelasnya lagi, peserta industri sawit di negara turut boleh menggunakan model ekonomi kitaran untuk meningkatkan kecekapan operasi mereka dalam pengurusan sisa sawit.

“Penggunaan teknologi boleh menukar sisa sawit kepada tenaga, sekali gus membantu negara untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil bagi penjanaan tenaga,” katanya.

Tambahnya, tenaga boleh baharu tersebut boleh digunakan untuk menyokong matlamat Malaysia dalam mencapai pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2030.

“Katakan satu kilang sawit boleh menjana lima megawatt (MW), kalau ada 400 kilang misalnya, kita boleh menjana 2,000 MW tenaga boleh baharu (daripada sisa buangan sawit).

“Ketika ini, hanya 20 peratus daripada 446 kilang memproses kelapa sawit yang telah menggunakan sisa demikian bagi menjana tenaga,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya