Malaysia dipilih sambung keahlian Kumpulan Tindakan Menteri-Menteri Komanwel

Malaysia dipilih sambung keahlian Kumpulan Tindakan Menteri-Menteri Komanwel

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dipilih menyambung keahliannya dalam Kumpulan Tindakan Menteri-Menteri Komanwel (CMAG) bagi penggal ketiga berturut-turut untuk tempoh 2024 hingga 2026.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, pemilihan Malaysia telah diperakukan oleh Mesyuarat Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Komanwel (CHOGM) dalam Persidangan di CHOGM 2024 pada 26 Oktober, di Apia, Samoa.

Jelasnya, Malaysia akan berkhidmat dalam CMAG bersama-sama dengan Antigua dan Barbuda, Botswana, Grenada, Kanada, Malta, Mauritius, Samoa dan Zambia.

“CMAG diwujudkan oleh Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Komanwel pada 1995.

“CMAG diberi mandat sebagai pemegang amanah bagi nilai-nilai politik teras Komanwel dan bertanggungjawab memantau, menasihat dan membantu negara-negara yang mengalami pergolakan dalaman di mana berlakunya pelanggaran ketara dan berterusan ke atas nilai-nilai yang diterajui oleh Komanwel,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, penglibatan Malaysia dalam CMAG telah bermula sejak 1995 di mana Malaysia telah berkhidmat bagi tempoh 1995 hingga 2002, 2005 hingga 2009 dan 2018 hingga 2024.

“Pemilihan Malaysia bagi kali ketiga berturut menandakan pengiktirafan Komanwel terhadap Malaysia dalam memperjuangkan nilai-nilai tadbir urus yang baik, pematuhan undang-undang dan penghayatan hak asasi manusia, selaras dengan mandat CMAG,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya