PETALING JAYA: Malaysia mencadang beberapa langkah bagi memacu penglibatan strategik ASEAN dalam pertumbuhan perdagangan, hubungan pelaburan dan transformasi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah yang perlu dilakukan negara anggota termasuk mengukuhkan asas ASEAN, memperkukuh rantaian nilai serantau dan kerjasama regulatori.
Selain itu, ASEAN perlu mencipta dan menyusun semula serta menyelaras ekonomi blok serantau dan memanfaatkan kekuatan masing-masing.
“ASEAN juga perlu menetapkan semula dan memastikan rantaian bekalan serantau serta hubungannya dengan ekonomi global.
“Saya percaya, jika kita meneruskan langkah ini dengan tekad dan komitmen, ASEAN dapat mencapai ketahanan ekonomi dan berada di landasan untuk menjadi ekonomi keempat terbesar menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada sesi plenari di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) Laos, hari ini. – UTUSAN