Malaysia bentang PADU di Forum Data Doha, pelbagai negara sifatkan sistem inklusif

Malaysia bentang PADU di Forum Data Doha, pelbagai negara sifatkan sistem inklusif

MOHD. Uzir Mahidin menerusi pembentangan berkaitan PADU ketika Forum Data di Doha, Qatar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diperkenalkan Kerajaan Malaysia diyakini dapat memberikan pulangan hasil kepada kerajaan dalam usaha penambahbaikan sistem penyampaian sekali gus memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

Perkara itu disampaikan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menerusi pembentangan berkaitan PADU ketika Forum Data di Doha, Qatar semalam yang disertai lebih 10 negara dan organisasi statistik antarabangsa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, kebanyakan negara menyambut baik pelaksanaan PADU oleh Malaysia yang disifatkan satu sistem yang inklusif.

“Negara lain seperti Findland juga berkongsi inisiatif sama seperti Malaysia,” katanya hari ini.

Dalam sesi pembentangan pada Forum itu, Mohd. Uzir berkata, sebagai pangkalan data komprehensif yang mengintegrasikan maklumat daripada pelbagai agensi dan dikemas kini orang ramai, PADU akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk menggubal dasar dan melaksanakan program pembangunan dengan lebih jitu dan berkesan.

Kata beliau, ia seterusnya meningkatkan kesejahteraan negara terutama meningkatkan pengurusan bantuan dan pengagihan subsidi.

“Antara faedah lain ialah mengukuhkan rangka kerja pengurusan bencana dan menangani krisis ketidakpadanan antara pekerjaan dan pendidikan.

“Sistem ini mampu menyediakan negara untuk menghadapi cabaran penduduk yang semakin menua dan merapatkan jurang dalam perlindungan sosial,” katanya yang lengkap berbaju Melayu ketika sesi penyampaian itu yang secara tidak langsung mempromosikan Malaysia di pentas dunia.

Mohd. Uzir berkata, sistem PADU juga berupaya membolehkan pengurusan belanjawan negara yang lebih strategik dan berfungsi sebagai enjin untuk transformasi kerajaan digital.

PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu yang mengandungi 39 maklumat untuk dikemas kini individu berumur 18 tahun ke atas dengan maklumat yang sah, tepat dan terkini mengikut lapan tema.

Beliau menegaskan, semua data atau maklumat individu dalam PADU adalah sulit.

“Sistem PADU membolehkan semua rakyat mengambil bahagian dalam membentuk lebih inklusif dan dipacu data yang cekap kerajaan.

“Daripada melawat kaunter, individu boleh mengemas kini maklumat mereka dengan mudah, memastikan maklumat itu tepat dan terkini.

“Usaha bersama antara kerajaan dan rakyat ini secara tidak langsung meningkatkan kualiti perkhidmatan penyampaian awam dengan ketara yang boleh meminimumkan segala kesulitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN