PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia mengamalkan dasar baik dengan semua negara dan membenarkan mana-mana kapal untuk berlabuh kecuali Israel.
Anwar berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa kemasukan kapal perang seolah-olah akan melakukan serangan dan mengambil alih negara tidak sepatutnya berlaku.
“Kita mempunyai ‘operasi ketenteraan bersama’ dalam kawasan kita dengan Amerika Syarikat, China, Singapura, Indonesia dan India. Apa masalahnya?”
“Bagi saya tiada masalah, hal ini telah berlaku sejak lama. Malah, jika kerajaan dahulu yang bersama PAS, Bersatu itu kapal terbang Israel pun boleh lalu, masuk pelabuhan tiada isu, sekarang jadi isu.
“Kita ingin menjelaskan bahawa Malaysia mengamalkan dasar baik dengan semua negara. Kapal yang ingin berlabuh di pelabuhan kita akan dibenarkan dari semua negara tiada kompromi kecuali untuk Israel. Itu adalah dasar yang kita amalkan sekarang tetapi kini dijadikan isu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-78.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan malah berkata, tiada apa-apa masalah untuk kapal angkatan tentera negara asing berlabuh di negara ini lebih-lebih lagi jika Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan sesebuah negara itu seperti China.
“Jangan apabila sesuatu berlaku ini kita jadi gempar, ini merupakan perkara biasa dalam hubungan diplomatik dengan negara luar, berlabuh di pelabuhan kita adalah satu perkara biasa. Kapal dari Australia, dari United Kingdom, Perancis, Jepun sekarang pula dari China.
“Itu perkara biasa kerana kita ada hubungan dua hala dengan mereka, kita ada hubungan diplomatik dengan negara tersebut melainkan kita tiada hubungan diplomatik dan tiba-tiba kapal mereka berlabuh, itu tidak betul. Kita ada hubungan amat baik dengan negara China yang merupakan negara terbesar rakan dagang kita,” katanya.- UTUSAN