MAIS pertahan tindakan terhadap GISBH selaras undang-undang

MAIS pertahan tindakan terhadap GISBH selaras undang-undang

MAIS GISBH
ABDUL Aziz Mohd. Yusof ditemui pemberita pada Program Pemerkasaan Kesedaran Kesedaran Tadbir Urus dan Integriti Rumah-Rumah Anak Yatim di Selangor yang berdaftar di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bersama agensi penguatkuasa, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mempertahankan tindakannya bersama pihak berkuasa lain termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis dalam menangani isu berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, tindakan yang dilakukan adalah mengikut peruntukan undang-undang sama ada enakmen syariah di peringkat negeri dan undang-undang sivil.

“Kita negara demokratik, mereka bebas (bersuara) dan bagi pihak kita yang bertanggungjawab tentang perkara itu, bukan sahaja MAIS tetapi agensi-agensi lain kita akan pertahankan.

“Kita hendak pastikan perkara yang kita buat selama ini adalah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemerkasaan Kesedaran Kesedaran Tadbir Urus dan Integriti Rumah-Rumah Anak Yatim di Selangor yang berdaftar di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bersama agensi penguatkuasa, hari ini.

Terdahulu Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK) dilaporkan mendakwa anak-anak yang diselamatkan daripada rumah amal dan sekolah agama GISBH dipisahkan daripada ibu bapa dan penjaga mereka.

Jurucakap gerakan itu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyatakan kanak-kanak dan remaja terbabit tidak diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebaliknya dipisah dan disembunyikan secara tidak sah dari segi undang-undang.

Bagaimanapun, Abdul Aziz menjelaskan rumah yang dipilih sebagai tempat perlindungan kanak-kanak dan remaja berkenaan adalah berdasarkan kepada jaminan keselamatan dan memastikan mereka termasuk anak kecil dapat dijaga dengan baik oleh JKM.

Malah, usaha mengenal pasti identiti ibu bapa dan keturunan sedang dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Untuk memastikan nama awak siapa? Nama bapa siapa, emak siapa? Hendak pastikan betul-betul (identiti mereka), semuanya memerlukan masa yang lama,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ketika ini, kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan sedang menjalani modul pembangunan akidah, akhlak, kenegaraan dan sebagainya.

Katanya lagi, soal berapa lama kesemua kanak-kanak yang terlibat berada di bawah jagaan pihak berkuasa ia akan ditentukan selepas tiga bulan akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya