Mahu kekal nama baik, tolak kontroversi - Utusan Malaysia

Mahu kekal nama baik, tolak kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Namanya masih begitu hijau dalam industri seni hiburan tempatan. Pun begitu, sedikit pun, perkara itu bukan satu penghalang buat Tengku Ines Najihah Raden untuk mencuba nasib dalam bidang seni sebagai seorang penyanyi.

Bagaimanapun, tentu sahaja sukar buat penyanyi yang mesra disapa sebagai Ines ini bergerak tanpa dikenali sebagai wanita yang datangnya daripada keturunan diraja.

Ini kerana, dalam mana-mana majlis bangsawan, wajahnya sentiasa ada lantaran cukup dikenali sebagai puteri kepada Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Ibni Tuanku Ja’afar dan Yang Mulia Tunku Datuk Seri Mimi Wahida Raden.

Tentu sahaja menerusi latar belakang diri, Ines seakan sedang menggalas tanggungjawab besar dalam membawa nama baik keluarga. 

Namun, sebolehnya, wanita berusia 20 tahun ini mencuba mengelak daripada terus bergantung kepada gelaran kerabat sementelah baginya, tidak salah jika jalan kerjayanya sebagai seorang penyanyi diukir dengan caranya sendiri.

“Saya meminati dunia seni sejak dari kecil, khususnya dari cabang seni muzik dan nyanyian. Namun saya sedar, mungkin langkah kaki saya masuk ke dalam bidang ini tidak mampu menutup mulut orang yang mahu mengaitkannya dengan latar belakang diri.

“Maksud saya, mungkin ada orang anggap saya mudah dapat laluan dalam bidang seni kerana punyai gelaran kerabat. Semua itu salah. Kalau boleh, saya semahunya nak elak daripada dikenali cuma sebagai anak keluarga bangsawan.

“Saya percaya, diri mempunyai bakat dan mampu berdiri di atas kaki sendiri dalam mencorakkan kerjaya seni tanpa bersandar pada nama keluarga,”katanya.

Dilihat masih gementar ketika berbicara tentang dirinya, Ines mengakui, masih belajar dan mencuba memperbaiki kemahiran komunikasinya.

Mula-mula disangka sebagai seorang yang pemalu, Ines bagaimanapun mengakui mengambil masa jika bertemu dengan orang baharu sebelum menzahirkan karektor dan personaliti sebenar.

“Saya ini seorang yang ambivert. Kadang-kadang boleh jadi introvert atau adakalanya extrovert. Tetapi semua itu bergantung kepada situasi. Lagi pula, saya akui, bahasa Melayu saya masih kurang fasih berbanding Inggeris.

“Saya pun masih mencuba memperbaiki pertuturan dalam bahasa Melayu. Bukan apa, sejak dari kecil, saya bersekolah di institusi pendidikan antarabangsa. Jadi perlukan masa untuk melembutkan lagi lidah berbahasa Melayu,”katanya.

PERTARUHAN ANDAI

Mengajaknya berbicara mengenai single pengenalannya yang berjudul Andai, kata Ines, dia yakin menerusi karya ciptaan Edry Abdul Halim itu, hasratnya untuk melebarkan sayap dalam bidang nyanyian mampu terlaksana.

Meskipun sedar, wujud banyak persaingan dalam dunia hiburan, Ines bagaimanapun optimis bahawa bakatnya dapat diterima ramai khususnya dalam kalangan peminat seni muzik tanah air.

“Saya percaya menerusi lagu Andai ini, ia dapat membuka peluang untuk saya meneroka bidang seni nyanyian dengan lebih meluas. Sebelum ini pun saya sering sahaja buat persembahan ‘live’, sudah terbiasa dengan gelanggang seni.

“Disebabkan itu, bermula tahun lalu saya bulatkan tekad seterusnya mencari lagu sebelum akhirnya dapat memiliki lagu Andai ini. Apa yang membuatkan saya semakin bersemangat untuk bergelar penyanyi ialah kerana keluarga juga memberikan sokongan.

“Cuma pesan mereka terutama ibu, kalau boleh elak kontroversi. Itu sahaja,”katanya.

Cukup mengidolakan kumpulan Blackpink, Mariah Carey dan Ariana Grande, Ines juga menanam azam mahu membawa Andai dan lagu-lagunya selepas ini hingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya cuma mahu orang mendengar muzik dan suara saya dan kalau boleh sehingga ke peringkat luar negara,” katanya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya