Mahkamah tolak saman fitnah terhadap Azlan - Utusan Malaysia

Mahkamah tolak saman fitnah terhadap Azlan

MOHAMAD Azlan Abdullah (dua dari kiri) bergambar bersama bersama peguam, Datuk Abu Bakar (tengah) dan Sureshmurti Ramani (dua dari kanan) di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini menolak saman fitnah dikemukakan seorang lelaki terhadap usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Abdullah, berhubung hantaran di Facebook, tiga tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif, Shahruldi Mahafiz Ramli, 51, gagal membuktikan tuntutan terhadap Mohamad Azlan selaku defendan.

Peguam mewakili Mohamad Azlan, Sureshmurti Ramani berkata, mahkamah telah memutuskan ‘posting’ dibuat anak guamnya itu tidak mempunyai unsur fitnah seperti dakwaan plaintif.

Sehubungan itu mahkamah sekaligus menolak permohonan tuntutan injunksi oleh plaintif bagi menghalang defendan atau wakilnya membuat kenyataan sama ada secara bertulis atau lisan.

“Pihak plaintif gagal menyanggah justifikasi hujahan pihak pembelaan serta gagal membuktikan wujud elemen fitnah dalam hantaran di Facebook oleh anak guam kami.

“Mahkamah seterusnya menolak tuntutan plaintif dengan kos namun mereka (plaintif) masih ada 14 hari untuk membuat rayuan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Shahruldi yang merupakan anak kandung kepada bapa angkat Mohamad Azlan sebelum ini mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan fitnah menerusi tiga hantaran di Facebook pada 2021.

Hantaran itu antaranya didakwa telah menunjukkan plaintif sebagai anak tidak bertanggungjawab, derhaka dan tamak kerana mengabaikan bapa kandung semasa hayatnya.

Mohamad Azlan, 37, atau lebih dikenali Azlan Al-Amin menerusi hujahan pembelaan menafikan dakwaan itu dengan menyatakan hantaran dimuat naik untuk kepentingan awam dan menyebar kesedaran.

“Sebagai pempengaruh di media sosial, anak guam kami mahu menunjukkan teladan yang baik, selain mahu masyarakat menghargai ibu bapa dan hantaran itu tiada niat jahat lain,” jelas Sureshmurti.

Dalam prosiding itu, Mohamad Azlan turut diwakili Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Aina Dalila Daman Huri daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN