Mahkamah tolak prosiding hina mahkamah terhadap Wan Ahmad Fayshal

Mahkamah tolak prosiding hina mahkamah terhadap Wan Ahmad Fayshal

LIM Guan Eng (berkemeja putih) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes terowong dasar laut Pulau Pinang. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan peguam yang mewakili Lim Guan Eng untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa mengeluarkan ciapan mengelirukan berkaitan perbicaraan kes terowong dasar laut Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi memaklumkan, mahkamah tidak berhasrat untuk memulakan tindakan terhadap wakil rakyat itu meskipun beliau bersetuju bahawa semua pihak tidak seharusnya mengeluarkan sebarang komen ketika perbicaraan berlangsung.

“Sepatutnya semua pihak harus tahu dan tidak mengeluarkan sebarang komen (berkaitan perbicaraan).

“Saya tidak berhasrat untuk memulakan apa-apa prosiding menghina mahkamah kerana jika saya layan semua, banyak yang sebenarnya mahkamah kena buat. Saya tidak pasti jika pihak pendakwaan ingin mengkajinya,” ujar Azura.

Terdahulu, peguam R.S.N. Rayer yang mewakili Guan Eng membangkitkan isu ciapan yang dikeluarkan Wan Ahmad Fayshal dalam aplikasi `X’ pada 2 Oktober lalu yang menyentuh projek terowong dasar laut Pulau Pinang diberikan  melalui rundingan terus.

Menurut Rayer, ciapan `Betul betul Direct. Award. Party’ itu merujuk kepada laporan sebuah portal pada hari yang sama berhubung keterangan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli bahawa Guan Eng `menjanjikan’ projek itu melalui rundingan terus  jika beliau berjaya mengatur majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat di China.

Peguam itu berkata, ciapan tersebut sesuatu yang mengelirukan dan subjudis kerana isu sama ada projek diberikan secara rundingan terus, belum diputuskan oleh mahkamah.

“Perkara itu belum diputuskan dan boleh membawa kepada tindakan menghina mahkamah dimulakan terhadap beliau.  Mahkamah sudah berulang kali menasihatkan orang awam supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran dan subjudis,” ujar beliau.

Rayer selanjutnya berkata, keterangan Zarul Ahmad bahawa Guan Eng memberikan projek terowong dasar laut secara rundingan terus adalah tidak benar kerana pembelaan berulang kali berpendirian bahawa projek itu diberikan melalui tender terbuka.

Sehubungan itu, beliau memohon arahan hakim bicara jika tindakan menghina mahkamah boleh dimulakan terhadap Wan Ahmad Fayshal lebih-lebih lagi beliau tiada dalam prosiding mahkamah dan hanya membuat ciapan berdasarkan laporan media.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin secara peribadi berpendirian, tiada pihak yang sepatutnya mengeluarkan sebarang komen sambil mempertikai siapa beliau (Wan Ahmad Fayshal) dalam kes tersebut.

Mahkamah sedang mendengar prosiding  mencabar kredibiliti Zarul Ahmad yang merupakan saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.

Kredibiliti beliau dicabar selepas kenyataan yang diberikannya ketika siasatan kes ahli perniagaan G. Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng walhal kedua-dua kes melibatkan siasatan terowong dasar laut Pulau Pinang.

Guan Eng dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek mega itu yang bernilai berbilion ringgit. 

Perbicaraan bersambung 23, 24 dan 25 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya