Magis serlah sisi berbeza Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Magis serlah sisi berbeza Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap karya yang dihasilkan oleh penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza pasti akan meraih perhatian ramai.

Selain menghasilkan lagu yang malar segar, penyanyi nombor satu negara ini mampu membawa pelbagai genre lagu yang sememangnya tidak membosankan telinga pendengar.

Terbaharu, Siti telah melancarkan video muzik lagunya yang berjudul, Magis sekali gus mempamerkan sisi berbeza penyanyi yang terkenal dengan watak lemah lembut itu.

Tampil menonjolkan aksi berlawan, Siti turut mengetengahkan elemen dongeng, fantasi dan kepahlawanan wanita selari dengan tema drama bersiri Hikayat Bawang Putih Bawang Merah yang menjadikan lagu tersebut sebagai runut bunyi.

Menurut Siti, dia sangat teruja apabila Pengarah Kreatif Zeel Production, Marr Mohamad mengangkat ideanya untuk memaparkan dirinya melakukan aksi lasak seperti memanah dan adegan pertarungan menerusi video muzik tersebut.

“Sewaktu berbincang dengan pihak penerbit dan pengarah, saya ingin memperlihatkan diri saya dari sisi yang berbeza.

“Ramai yang tidak tahu, saya sering berlatih memanah, berlatih muay thai dan suka mencuba aktiviti lasak,” katanya.

Lebih menarik lagi, Siti yang memegang watak sebagai Ratu Srikandi turut menjayakan babak pertarungan tersebut bersama pelakon, Fadlan Hazim.

LATIHAN SATU JAM
Tangkas, lincah dan cekap berlawan, sisi berbeza yang ditonjolkan oleh ibu kepada dua orang anak itu menerusi video muzik tersebut turut mengalih tanggapan ramai secara positif.

Sementara itu, penerbit Md Fadzil Teh berkata, penghasilan video muzik ini merupakan satu pengalaman istimewa bagi rumah produksinya.

“Saya berasa sangat teruja, terharu dan ini merupakan sebuah pengalaman yang sangat istimewa. Ini merupakan kali kedua kami menerbitkan muzik video Siti selepas Siapa Tak Mahu.

“Tambah pula Siti ingin beraksi, mempunyai babak berlawan. Kami berusaha semampu mungkin termasuk menyediakan pelakon lagak aksi buat Siti.

“Beliau sangat komited dan latihan aksi hanya dilakukan di lokasi penggambaran hanya sekitar satu jam sebelum penggambaran bermula,” jelasnya.

Selain Fadlan, video muzik yang disutradarai oleh pengarah Lily Samsuddin turut menampilkan Azza Elite serta pelakon cilik, Rafique Iskandar.

Sebelum ini, penyanyi kesayangan ramai itu turut memuat naik video momen di sebalik tabir dirinya melakukan babak pertarungan tersebut sendiri di Instagram.

Dalam perkongsian tersebut, penyanyi yang terkenal dengan lagu Jerat Percintaan itu turut berkongsi cabaran yang dilaluinya sepanjang menjayakan watak Ratu Srikandi dan babak aksi itu.

Namun, perkongsian tersebut turut meraih pelbagai respons positif dari kalangan peminatnya yang rata-rata kagum dengan kelainan yang ditonjolkan oleh penyanyi itu.

Sekadar info, lagu Magis merupakan salah sebuah lagu yang dimuatkan di dalam album Sitism. Lagu ini dicipta oleh Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden King manakala lirik oleh Mas Dewangga dan Jova Devito.

Dalam perkembangan lain, Siti Nurhaliza sekali lagi tersenarai dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims bagi edisi 2025 bagi kategori seni dan budaya.

Pengiktirafan tersebut juga merupakan tahun ke-10 penyanyi tersohor negara itu mengekalkan kedudukannya dalam senarai Top 500 Muslim paling berpengaruh di dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya