Maaf kalau ada yang muak, saya dibayar penganjur - Bella Astillah - Utusan Malaysia

Maaf kalau ada yang muak, saya dibayar penganjur – Bella Astillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas menerima pelbagai kritikan mengenai nyanyiannya setiap kali menyampaikan lagu Masing-Masing, penyanyi Bella Astillah tampil memohon maaf kepada umum.

Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, dia tidak pernah menganggap lagu nyanyian asal Ernie Zakri itu seperti lagunya sendiri sebaliknya hanya mahu memenuhi permintaan sesetengah penganjur acara yang sudah membayarnya.

“Saya minta maaf kalau ada yang sudah muak mendengar saya menyanyi lagu Masing-Masing. Bila pihak penganjur sendiri yang minta menyanyikan lagu tersebut, saya agak keberatan untuk menolak.

“Lagipun mereka sudah bayar saya. Rezeki ini saya gunakan untuk menanggung anak-anak saya.

“Saya sendiri sudah bertanya dengan Ernie terlebih dahulu. Dia cakap tak mengapa. Kalau ikutkan saya juga sedih sebab lagu ini bukan lagu saya,” katanya.

Bella berkongsi perkara itu ketika sewaktu ditemui pada sidang media pelancaran single baharunya, Tapi Bukan Denganmu, di sini, Jumaat lalu.

Sementara itu, ibu kepada dua orang anak ini juga turut meluahkan rasa lega apabila dia sudah mempunyai lagu ‘galau’ ciptaannya sendiri bersama komposer, Sharon Paul untuk dinyanyikan di mana-mana acara.

“Sekarang saya sudah ada lagu sendiri. Nanti hari-hari saya menyanyi dalam Instagram. Insya-Allah,” jelasnya.

Bella yang menyedari nyanyiannya sering dikecam turut mengakui dirinya masih lagi belajar vokal demi memantapkan lagi mutu nyanyiannya.

“Saya menyanyi sejak kecil. Dari dahulu lagi saya sudah belajar vokal dengan bapa. Apabila dewasa saya belajar dengan guru vokal profesional seperti Cikgu Shafie.

“Saya tidak akan pernah berhenti belajar. Takkan saya nak tunjuk perjalanan proses pembelajaran saya kepada umum.

“Tetapi saya faham dengan kritikan yang diberikan oleh orang ramai. Mungkin ketika itu saya menyanyi kerana terikut-ikut dengan emosi atau terlalu penat.

“Mungkin juga tidak cukup latihan. Selepas ini saya akan buat dengan lebih baik. Insya-Allah,” ujarnya.

Sebelum ini, Bella teruk dikecam netizen selepas mendengarnya menyanyikan lagu Mati-Matian nyanyian asal Mahalini di sebuah acara. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya