KUALA KRAI: Luluh hati seorang wanita melihat barangan jualan bernilai RM5,000 musnah selepas Pasar Besar Kuala Krai di sini yang menjadi tempatnya mencari rezeki terbakar, semalam.
Halimah Daud, 65, berkata, sebaik sahaja menerima panggilan daripada anaknya yang memaklumkan kejadian itu, dia terus ke pasar tersebut dan mendapati api sedang marak membakar kawasan pasar tersebut termasuk premis perniagaannya.
“Saya hanya mampu melihat dari jauh stok jualan yang baharu seperti tempoyak, petai jeruk dan ikan kering gagal diselamatkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Seorang lagi peniaga, Salmah Salleh, 35, berkata, dia mengetahui kebakaran itu selepas menonton siaran langsung menerusi aplikasi TikTok.
Katanya, dia terkejut mendapati semua barangan jualan gagal diselamatkan kerana api marak dengan cepat.
Pasar Besar Kuala Krai yang menjadi nadi kegiatan ekonomi penduduk di sekitar kawasan itu terbakar sekitar pukul 1.15 pagi menyebabkan 80 peratus premis berkenaan musnah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa bagaimanapun berkata, kebakaran itu tidak melibatkan nyawa.
“Kami terima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 1.21 pagi sebelum 25 anggota bersama lima jentera ke lokasi kejadian.
“Api dapat dikawal kira-kira pukul 2.06 pagi dan dipadam sepenuhnya pada pukul 3.42 pagi. Operasi tamat kira-kira 5.17 pagi,” katanya. – UTUSAN