SHAH ALAM: Kewujudan longkang atau saliran air tidak ‘bertuan’ sepanjang 600 kilometer (km) dikenal pasti antara punca berlakunya banjir di Selangor.
Kesemua longkang itu dibina pihak tertentu sama ada melibatkan kawasan perumahan, tepi jalan, kampung dan kilang.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, pemerhatian jabatan berkaitan mendapati lokasi terlibat kebanyakannya di sekitar daerah Petaling dan Klang apabila struktur longkang yang dibina itu tidak diselenggara oleh pihak berkenaan sebaik mungkin
“Keadaan itu mengakibatkan saliran air tidak berfungsi kerana turut tersumbat dengan tanah dan sampah sarap. Ia sekali gus menyebabkan berlakunya limpahan air dan banjir lebih teruk di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Beliau menambah, kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi proses membersihkan longkang itu secara ‘one off’.
“Bagi fasa pertama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membersihkan longkang tidak bertuan itu sepanjang 300km mulai minggu depan. Fasa kedua selebihnya pula akan dilaksanakan pada November ini meliputi semua kawasan di seluruh negeri,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pihaknya menerusi jangka masa panjang akan turut mengesan pemilik longkang itu bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Izham berkata, kerajaan negeri turut memfokuskan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kerap terjejas akibat ditenggelami banjir.
“Lokasi yang dikenal pasti itu antaranya di Taman Sri Muda dan Seri Alam yang akan mengalami masalah bekalan elektrik jika tenggelam. Kita mendapati kira-kira 70 pencawang terjejas dan projek membaik pulihnya sudah disiapkan,” katanya. – UTUSAN