KLANG: Saluran air utama di Jalan Kassim, Persiaran Hamzah Alang dan Jalan Meru, dekat Meru, di sini dipercayai antara longkang besar yang tidak ‘bertuan’ dengan penduduk mendakwa, ia tidak diselenggara dalam tempoh lama sehingga menyebabkan banjir kerap berlaku.
Tinjauan Utusan Malaysia turut mendapati, aliran air di longkang berkenaan terlalu perlahan akibat dipenuhi rumput dan lalang.
Malah, sebahagian besar longkang itu juga kelihatan cetek berikutan mendapan tanah dan lumpur menyebabkan air mudah melimpah keluar apabila hujan lebat.
Seorang peniaga warung di Jalan Kassim, Azmizah Mohamad, 40, mendakwa, sejak dia mula berniaga kira-kira tiga tahun lalu, tidak pernah melihat kelibat mana-mana individu atau pekerja menyelenggara longkang berhampiran kedainya.
Malah, dakwanya tidak pernah melihat pekerja-pekerja ‘beruniform’ membersihkan longkang itu terutama di Jalan Kassim dan di laluan utama seperti Persiaran Hamzah Alang.
“Dengan lalang dan rumput tumbuh melata dalam longkang, sampah pula terperangkap mengakibatkan banjir kilat mudah berlaku walaupun hujan lebat tak sampai sejam. Malah, kedai saya kerap kali dinaiki air.
“Mujur kawasan kedai agak tinggi, jadi limpahan air cuma membanjiri kawasan lantai, tidak merosakkan perabot dan barangan dapur. Tetapi takut juga sekiranya hujan turun berhari-hari macam bencana banjir yang berlaku pada 2021,” katanya menambah, kedainya tenggelam dan terpaksa ditutup dalam kejadian itu.
Seorang lagi penduduk, S. Hassan Kuthoos, 50, berkata, dia pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai keadaan longkang-longkang besar di laluan-laluan utama di Meru, namun maklum balasnya amat mendukacitakan.
“Tak ada respon langsung. Saya tak tahulah kalau longkang-longkang itu bukan bidang kuasa mereka, antara jabatan kerajaan takkanlah tak boleh saling berkongsi maklumat?
“Saya sudah tinggal lebih 30 tahun di sini, siapa nampak longkang-longkang di Meru diselenggara? Jalan Kassim, Jalan Cempaka, Jalan Tap, Jalan Teratai, Kampung Haji Mohd. Sharif sekitar Meru akan banjir kilat sekali atau dua kali setahun, setiap tahun.
“Ada penduduk yang buat aduan kepada PBT. Namun, PBT menolak dengan alasan pembersihan dan penyelenggaran longkang bukan dalam skop kerja mereka,” katanya kesal.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kira-kira 600 kilometer longkang atau saluran air tidak bertuan dikenal pasti kebanyakannya di daerah Petaling dan Klang menjadi punca berlaku banjir di Selangor.
Perkara itu didedahkan Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim apabila memaklumkan longkang terlibat kesemuanya dibina pihak tertentu sama ada melibatkan kawasan perumahan, tepi jalan, kampung dan kilang. –UTUSAN