SEOUL: Penyanyi popular, Lisa Manoban, dikecam teruk setelah didakwa bersikap tidak acuh memberikan sokongan terhadap ahli kumpulan Blackpink.
Spekulasi itu timbul apabila Lisa tidak lagi berkongsi sebarang poster mahupun menurunkan komen di hantaran projek solo terbaharu ahli Blackpink seperti Jennie dan Rose.
Jennie bakal hadir dengan lagu terbaru bertajuk Mantra manakala Rose bakal hadir dengan sebuah album studio, Rosie yang dijangka menemui peminat Disember ini.
Ketika masing-masing saling berkongsi poster di InstaStory dan mengucapkan tahniah di ruangan komen, Lisa bagaimanapun memilih berdiam diri.
Tindakan penyanyi kelahiran Thailand itu menimbulkan rasa kurang senang peminat Blackpink yang rata-rata beranggapan Lisa mula berubah sikap sejak menubuhkan syarikat sendiri, LLOUD, Februari lalu.
“Kelakar rasanya bila lihat hanya tiga orang daripada mereka yang rajin sokong antara satu sama lain. Yang satu itu (Lisa) entahlah,” tulis satu peminat.
“Hanya gadis cantik yang saling sokong satu sama lain,” kata peminat lain sambil memuat naik gambar Jennie, Rose dan Jisoo tanpa kehadiran Lisa.
Bagaimanapun, peminat Lisa mula bersuara menunjukkan beberapa klip temu ramah Jisoo sebelum ini yang mengatakan penyanyi Rockstar itu lebih selesa menunjukkan sokongan di luar media sosial.
“Lisa mungkin terlalu sibuk mahu habiskan masa di media sosial. Mungkin juga segala hantaran yang dibuat Lisa di media sosial diuruskan oleh pasukannya. Kita tidak tahu, mungkin Lisa ada menghubungi ahli Blackpink di luar media sosial,” kata seorang warganet.
Bagaimanapun, sebelum ini, agensi bakat Blackpink, YG Entertainment mengumumkan bakal mengadakan konsert jelajah kumpulan terkenal itu yang dijangka bermula pada 2025. -UTUSAN