Lima sekeluarga cemas rumah dilanda kepala air

Lima sekeluarga cemas rumah dilanda kepala air

PENDUDUK melihat sisa-sisa pokok yang dihanyutkan banjir di tebing Sungai Rambong di Kampung Teluk Rambong, Baling, malam kelmarin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Lima sekeluarga cemas apabila rumah didiami mereka di Kampung Teluk Rambong di Tanjung Pari, di sini dilanda kepala air dalam kejadian malam kelmarin.

Menurut Siti Nor Aiza Salleh, 21, kejadian kira-kira pukul 8 malam itu berlaku dengan pantas dan menakutkan berikutan aliran arus yang kuat.

“Tiba-tiba sahaja air Sungai Rambong terletak berhampiran melimpah dan masuk ke dalam rumah sehingga kami tidak sempat selamatkan semua barang.

“Hanya dalam masa kira-kira 10 minit, air naik hingga paras paha. Kami cuba selamatkan barang tetapi gagal kerana air terlalu deras,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Siti Nor Aiza berkata, dia kemudian berlari menyelamatkan diri bersama dua anaknya berusia enam dan dua tahun serta ibu bapanya ke kawasan lebih tinggi.

“Kami hanya mampu tengok semua barang seperti peti ais, kipas, tilam, katil, baju serta tong gas ha­nyut. Ada sebahagiannya tersangkut pada pokok buluh di tepi rumah.

“Kami juga hanya mampu melihat kereta Proton Iswara Aeroback dan dua motosikal yang berada di halaman rumah hanyut dibawa arus deras.

“Kami cuba mencarinya tetapi tidak jumpa sebab air sungai masih lagi banyak dan laju,” ujarnya.

Menurutnya, kebanyakan barang itu baru sahaja dibawa dari rumah sewa ke rumah ibu bapanya itu.

“Saya berpindah ke rumah ibu bapa kerana mahu menjaga mereka yang kurang sihat. Tidak sangka semua barang rosak akibat kejadian ini,” jelasnya.

Kata Siti Nor Aiza, jambatan yang menghubungkan kawasan rumah di seberang sungai juga rosak akibat ditolak sisa kayu besar dipercayai datang dari atas bukit menyebabkan beberapa rumah terputus hubungan.

“Sebelum ini juga pernah banjir tetapi air cuma masuk dalam rumah sikit sahaja lebih kurang paras betis tetapi air itu cepat surut bila hujan berhenti. Ini kejadian paling teruk dalam tempoh 50 tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya