Lima pasangan kembar antara 4,807 calon pelajar baharu USM

Lima pasangan kembar antara 4,807 calon pelajar baharu USM

ABDUL RAHMAN Mohamed (dua dari kanan) bersama pelajar-pelajar baharu yang mendaftar termasuk lima pasangan kembar di USM, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kehadiran lima pasangan kembar yang membuat pendaftaran secara serentak di Dewan Utama Desasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun ini berjaya menarik perhatian ramai.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, kesemua pasangan kembar itu merupakan sebahagian 4,807 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi, asasi, diploma atau yang setaraf dengannya yang mendaftar bagi mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda (sepenuh masa) dan Diploma di universiti itu bagi Sidang Akademik 2024/2025.

Kata beliau, daripada jumlah itu, seramai 1,700 pelajar adalah lelaki manakala selebihnya iaitu 3,107 lagi adalah pelajar perempuan.

“Berdasarkan unjuran rasmi USM iaitu 3,888 bagi pengambilan saluran perdana (UPU) Sidang Akademik 2024/2025, seramai 4,807 calon ini telah berjaya ditawarkan kemasukan ke USM meliputi kesemua kampus. Jumlah ini bagaimanapun tidak termasuk 715 calon dari Feeder USM (PRA U-USM) dan Doktor Perubatan yang mengikuti program (perubatan) di USM-KLE, India,”katanya di sini, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, bagi kategori B40, sebanyak 1,500 calon ditawarkan untuk menyambung pengajian melalui saluran UPU bagi ketiga-tiga kampus USM, yang merangkumi 31.20 peratus daripada jumlah pelajar baharu.

“Inisiatif ini bagi membuka peluang kemasukan pelajar daripada golongan tercicir dan kurang berkemampuan agar dapat melanjutkan pengajian mereka di USM,” katanya.

Tambah beliau, USM juga menyahut hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan melaksanakan Program Siswa Sulung Malaysia yang bertujuan membantu anak-anak daripada keluarga B40 yang menjadi individu pertama dalam keluarga tersebut melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Sehingga kini, seramai 1,008 pelajar telah menerima tawaran Siswa Sulung di USM, dengan 200 pelajar ditawarkan pada Sidang Akademik 2024/2025,” katanya yang memberitahu, USM turut memberi perhatian kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) dalam usaha merealisasikan impian mereka untuk memperolehi ijazah dari universiti itu.

Jelasnya, ketika ini, seramai 20 calon OKU telah ditawarkan tempat di ketiga-tiga kampus USM dan mereka akan menikmati kemudahan khas termasuk di Desasiswa Aman Damai yang menyediakan fasiliti mesra OKU, seperti tandas khas, platform kerusi roda, dan parkir kenderaan yang berhampiran dengan bilik mereka.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, dalam usaha memperkasakan sukan negara, seramai 21 atlet negeri dan negara turut ditawarkan tempat di USM melalui saluran warga sukan.

“Selain itu, USM turut mendapat perhatian antarabangsa apabila berjaya membuat 536 tawaran yang diberikan kepada calon antarabangsa dari 18 buah negara untuk menyambung pengajian di sini.

“Negara-negara tersebut termasuk Afghanistan, Arab Saudi, Bangladesh, China, Cyprus, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Indonesia, Iran, Jepun, Nigeria, Oman, Pakistan, Panama, Qatar, Singapura, Zambia dan Thailand,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN