GERIK: Sekurang-kurangnya lima buah kenderaan rosak diserang sekumpulan gajah liar dalam kejadian di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik Jeli, di sini semalam.
Kejadian sebelum Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 9 Sungai Lebey menuju ke Gerik itu bagaimana pun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Insiden itu dikatakan berlaku sekitar pukul 9 malam di mana kenderaan yang dalam perjalanan dari arah Kelantan ke Gerik berhenti di SJR berkenaan untuk memaklumkan kejadian serangan yang membabitkan puluhan gajah liar.
Sementara itu, usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan pengesahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berkaitan kejadian tersebut. – UTUSAN