KUALA LUMPUR: Peniaga kecil dan penjaja tempatan yang berniaga di pusat penjaja sekitar ibu kota kini mampu mengukir senyuman apabila lokasi pusat penjaja diubahsuai dan ditambah baik bagi menjalankan operasi perniagaan mereka.
Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur adalah inisiatif Kerajaan Madani dibawah Jabatan Wilayah Persekutuan bagi menaiktaraf dan mengindahkan fasiliti gerai-gerai peniaga kecil dan penjaja sedia ada di sekitar ibu kota menjadi lebih kondusif dan selesa.
Antara fokus penambahbaikan yang digerakkan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah menaiktaraf papan tanda utama, papan tanda gerai dan kawasan dataran.
Selain itu, terdapat juga penambahan laluan pejalan kaki yang selamat dan bollard bagi menghalang kenderaan di kawasan laluan pejalan kaki serta menaik taraf tapak tempat letak kenderaan awam serta untuk golongan orang kelainan upaya (OKU).
Bagi aspek kebersihan dan keindahan pula, DBKL menghiasi kawasan sekitar pusat penjaja dengan mural pada tembok dan kerja-kerja pengindahan selain menaiktaraf rumah sampah yang sedia ada.
Inisiatif program Lestari Niaga@Kuala Lumpur juga bukan sahaja membantu para penjaja dan peniaga untuk mendapatkan infrastruktur yang lebih selesa dan selamat malah ia dapat meningkatkan mutu perkhidmatan yang ditawarkan.
Rata-rata pusat penjaja yang diubahsuai adalah lokasi yang telah bertapak lama dalam negara yang berusia lebih daripada 30 tahun.
Peniaga makanan berlauk di Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kamalasary Abdullah, 59, berkata, kerja menaiktaraf yang dilakukan menerusi program itu meningkatkan lagi pelanggannya pada waktu kemuncak.
Jelasnya, mural dengan ciri khas yang menghiasi pada bahagian hadapan medan selera itu membuatnya tidak menang tangan dengan kehadiran pengunjung.
“Dengan adanya tarikan seperti mural dan kemudahan parkir untuk pelanggan, medan selera menjadi pilihan orang di sekitar kawasan ini. Selain itu dengan adanya papan tanda baharu membolehkan kami dikenali dalam kalangan pelanggan.
“Kita mengharapkan supaya program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Mungkin boleh perbanyakkan lagi tempat letak kenderaan untuk orang awam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, pembantu peniaga di Pusat Penjaja Jalan Cenderasari, Ana Ria Sapitri, 44, berkata, penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan awam membolehkannya menjalankan operasi dengan mudah selain memberikan keselesaan kepada pelanggan.
Jelasnya, program pengubahsuaian itu telah menyelesaikan beberapa masalah antaranya bekalan air yang dihadapi oleh setiap peniaga dan kekurangan tempat duduk untuk pelanggan yang hadir.
“Sebelum ini, kami mempunyai masalah bekalan air apabila kami hanya boleh menggunakannya dalam keadaan dan waktu yang terhad. Alhamdulillah, sekarang kami dapat memasak dan membancuh air untuk pelanggan tanpa sebarang kekangan.
“Selain itu, penambahan unit kerusi, meja, pemasangan lampu pendaflour dan kipas dinding baharu juga memberikan rasa nyaman dan selesa ketika pelanggan datang untuk menjamu selera.
“Saya berharap supaya program ini mendapat lebih banyak lagi peruntukan pada masa akan datang untuk membina tandas awam berdekatan pula bagi memudahkan pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penjaja di Pusat Penjaja Cenderawasih, Muhd. Haris berkata, pengubahsuaian yang dilakukan menerusi program Lestari Niaga@Kuala Lumpur memberikan nafas baharu buat mereka.
“Sebelum ini, kedai di sini hanya berdindingkan papan, namun setelah pengubahsuaian yang dilakukan kami mendapat kedai berdindingkan batu serta simen membuatkan kami lebih selesa untuk berniaga di sini
“Selain itu, kami juga mendapat papan tanda baharu memboleh mana-mana pelanggan yang hadir luar dari kawasan atau pelancong luar negara untuk datang ke sini,” katanya. – UTUSAN